suria

Najib di Istana Kinta, Sultan Perak timbang 2 opsyen

SALAM... Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (tengah) yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak bersalaman dengan ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada sidang media semalam. -fotoBERNAMA
SALAM... Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (tengah) yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak bersalaman dengan ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada sidang media semalam. -fotoBERNAMA
SALAM... Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (tengah) yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak bersalaman dengan ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada sidang media semalam. -fotoBERNAMA

[DIKEMAS KINI, 10.15 PAGI] PETALING JAYA: Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak kini berada di Istana Kinta untuk mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah dipercayai bagi memaklumkan secara rasmi Barisan Nasional (BN) mempunyai sokongan untuk menubuhkan kerajaan baru.

Najib, Pengerusi BN Perak tiba di Istana Kinta pukul 9.50 pagi tadi.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi yang merupakan Timbalan Pengerusi BN Negeri.

BERITA TERDAHULU

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Perak, diketuai Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah hari ini bagi memaklumkan secara rasmi bahawa perikatan itu mempunyai sokongan diperlukan untuk menubuhkan kerajaan baru.

Sultan Perak dijangka mempertimbangkan dua pilihan iaitu memberikan peluang kepada BN membentuk kerajaan ataupun membolehken Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Pucuk pimpinan BN belum memikirkan mengenai calon Menteri Besar yang baru jika diberikan peluang memerintah.

BN Perak yang kini mempunyai cukup bilangan kerusi untuk membentuk kerajaan baru selepas empat ADUN Pakatan Rakyat meninggalkan parti masing-masing.

Mengikut undang-undang tubuh negeri, sekiranya pilihan raya negeri tidak diadakan, penubuhan kerajaan negeri baru boleh berlaku melalui dua cara.

Pertamanya, melalui undi tidak percaya terhadap Menteri Besar pada persidangan DUN dan cara kedua ialah Sultan memberi perkenan kepada pelantikan Menteri Besar yang baru dari kalangan anggota yang dipercayai baginda mendapat kepercayaan sebahagian besar anggota dewan.

BN KE ISTANA

Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahary berkata, kesemua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan tiga wakil rakyat Bebas yang menyatakan sokongan kepada BN jika membentuk kerajaan, akan turut serta dalam pertemuan itu.

"BN Perak akan mengadap Sultan Perak esok (hari ini), tapi kita belum pasti lagi bila masanya kerana masih menunggu isyarat daripada pihak istana," katanya.

Pertemuan tersebut akan diketuai Pengerusi BN Perak yang baru, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

NIZAR YAKIN

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yakin sebarang keputusan yang perkenankan oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah dalam menangani kemelut politik di negeri ini dibuat dengan adil.

"Saya yakin keputusan yang dibuat nanti cukup adil kepada rakyat di negeri Perak dan adil kepada partiparti politik, dan kita tidak akan meragui sebarang keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak," kata beliau di Ipoh semalam.

Mohammad Nizar, yang ditemui di Ibu Pejabat PAS Perak untuk menghadiri mesyuarat tergempar parti itu di sini malam ini, berkata pada majlis mengadap beliau dengan Sultan Perak di Istana Kinta petang semalam, Sultan Azlan Shah belum menitahkan keputusan baginda kepadanya.

"Tuanku bertitah baginda memerlukan masa untuk membuat kajian sedikit (atas cadangan kerajaan Pakatan Rakyat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN)).

"Mungkin Tuanku akan merujuk kepada pakar-pakar perundangan supaya dapat mengelak sebarang krisis Perlembagaan.

"Saya akur dan menerima sebarang keputusan yang diperkenankan Tuanku," katanya bagi mengulas pertemuan selama dua jam di Istana Kinta.

Mohammad Nizar berkata, majlis mengadap Sultan Perak berjalan dengan cukup baik seperti biasa, dan telah mempersembahkan kepada baginda keadaan politik negeri Perak yang tidak menentu dan memohon perkenan baginda untuk membubar DUN dengan serta merta.

Memandangkan Sultan Perak belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara tersebut, "saya masih berterusan mentadbir bersama-sama ADUN Pakatan Rakyat, dan akan menjalankan tugas seperti biasa."

Beliau berkata pada pandangan Pakatan Rakyat, bagi menyelesaikan masalah ketidak tentuan politik di negeri ini berikutan wujudnya ADUN yang melompat parti maka adalah baik diadakan pilihan raya semula dan keputusannya akan menjadi lebih bersih.

Jika Sultan Perak tidak berkenan untuk membubarkan DUN, kerajaan Pakatan Rakyat masih boleh memerintah sebagai kerajaan sementara dan kerajaan ini masih sah sebagai kerajaan minoriti seperti yang berlaku di Kanada dan India, katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pucuk pimpinan BN belum memikirkan mengenai calon Menteri Besar yang baru.

"Itu belum difikirkan oleh Datuk Seri Najib dan Pak Lah tetapi kita ada 28 calon sekarang ini," katanya.

BN Perak yang kini mempunyai cukup bilangan kerusi untuk membentuk kerajaan baru selepas empat ADUN Pakatan Rakyat meninggalkan parti masing-masing.

ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dua minggu kembali menyertai BN.

Sementara itu tiga yang lain bertindak menjadi ADUN Bebas ialah Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang); Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang).

Mengulas mengenai perkembangan yang berlaku di Perak, Ramly berkata, beliau berharap Pakatan Rakyat menerima apa jua keputusan berdasarkan undang-undang.

"Kita harap mereka menerima apa yang berlaku kerana sebarang tindakan harus mengikut undang-undang.

"Jangan pula selepas ini ada yang bertindak bertentangan dengan undang-undang," katanya.

Sehingga pagi ini, pihak istana belum mengeluarkan apa-apa kenyataan sama ada pembubaran DUN Perak diperkenankan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Behrang dianiaya PKR?

Artikel Lain