Antara sektor yang diberi perhatian menjelang Bajet 2027 ialah ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan kewangan Islam.
DALAM suasana ekonomi negara yang kian berubah akibat perkembangan teknologi dan persaingan pelaburan global, usaha memperkukuh pendapatan rakyat serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan menjadi antara agenda utama kerajaan.Sehubungan itu, Bajet 2027 akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat, memperluas peluang pekerjaan berkualiti serta memperkukuh daya saing ekonomi negara menerusi pelaburan strategik. Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menerusi laporan The Star berkata, pendekatan yang digariskan akan dilaksanakan secara bersasar dan mampan bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi negara dapat dirasai secara lebih menyeluruh oleh seluruh lapisan masyarakat.Menurutnya, kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada sektor yang mempunyai potensi besar untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.Antara sektor yang diberi perhatian ialah semikonduktor, peralihan tenaga, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan kewangan Islam.Kerajaan dalam masa sama turut menyasarkan untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi, meningkatkan produktiviti serta memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat pemula.Langkah berkenaan katanya penting bagi membolehkan lebih banyak barangan dan perkhidmatan tempatan menembusi rantaian nilai global serta dipasarkan sebagai produk buatan Malaysia."Ini akan membolehkan lebih banyak barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan secara tempatan untuk menembusi rantaian nilai global sebagai produk Malaysia," katanya.Dalam pada itu, kerajaan turut akan mempergiat usaha dalam bidang penyelidikan, inovasi dan komersial teknologi bagi meningkatkan nilai tambah ekonomi negara.Jelasnya, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada usaha memperkemas peraturan, mengurangkan kerenah birokrasi serta mempercepatkan pendigitalan penyampaian perkhidmatan awam.Langkah berkenaan menurutnya bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan kerajaan, malah membantu mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif.