JUMLAH RM1 juta merupakan satu angka yang amat digeruni, terutamanya apabila membincangkan soal simpanan hari tua yang sepatutnya dibina sejak awal.Namun, siapa sangka simpanan sebanyak itu sebenarnya mampu dicapai walaupun ia baru dimulakan secara serius pada usia melewati 40-an. Pakar perunding kewangan Muhammad Faiz Zulfakar menerusi hantaran di Threads, berkongsi pencerahan optimis berhubung perkara tersebut.Jelasnya, seseorang individu berusia 40 tahun masih berpeluang mengumpul simpanan mencecah RM1 juta menjelang persaraan, asalkan caruman dibuat secara konsisten berpandukan kadar gaji dan caruman majikan."Kalau masih ada 20 tahun sebelum bersara, dengan hanya membiarkan simpanan sedia ada terus berkembang dan caruman dibuat secara konsisten, jumlahnya boleh menghampiri RM1 juta apabila umur 60.ARTIKEL BERKAITAN: Gaji permulaan RM2,500, tak mustahil bersara dengan simpanan RM1.3 juta... Ini pengiraan pakar kewangan"Pulangan sebenar tak akan sama setiap tahun, gaji mungkin berubah, caruman mungkin berubah dan sudah tentu, inflasi pun ada."Kalau projection sekarang baru RM700,000, kita masih ada masa untuk adjust dengan tambah caruman, tingkatkan kadar simpanan, panjangkan tempoh bekerja atau cari instrumen pelaburan yang sesuai dengan matlamat dan tahap risiko kita," katanya.Dalam pada itu, Faiz turut menegur sikap segelintir masyarakat yang tidak cakna dan kurang bijak menguruskan perbelanjaan wang persaraan sehingga boleh membawa kerugian di kemudian hari.Jelasnya, rata-rata masyarakat kurang bijak dalam membelanjakan wang daripada simpanan persaraan yang akhirnya boleh menyebabkan kerugian."Kalau ada RM1 juta pada umur 60 tahun dengan andaian pulangan lima peratus setahun, bermakna kita dapat RM50,000 setahun. Jika dibahagi 12 bulan, kita akan dapat sekitar RM4,167 sebulan. Angka itu nampak menarik."Namun, jangan terus anggap RM4,167 itu sebagai 'gaji pencen' yang boleh dikeluarkan sesuka hati selama-lamanya. Faktor seperti inflasi, turun naik pulangan pelaburan, cukai, dan tempoh hayat persaraan semuanya perlu diambil kira."Sebab itu perancangan persaraan bukan sekadar soalan 'berapa banyak aku boleh kumpul?', tetapi juga 'berapa banyak yang sebenarnya diperlukan dan berapa lama duit itu mampu bertahan?'," ujarnya.Dalam pada itu, ahli ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak menerusi laporan The Star pula berpendapat bahawa jumlah RM1 juta mungkin tidak lagi mencukupi untuk menampung kehidupan pasca-persaraan pada masa kini."Walaupun kadar inflasi rasmi mungkin kelihatan sederhana, komponen perbelanjaan utama seperti penjagaan kesihatan, perumahan dan keperluan harian meningkat dengan lebih berterusan dari semasa ke semasa."Ini menunjukkan bahawa inflasi sebenar yang dialami oleh pesara adalah lebih tinggi daripada angka agregat yang ditunjukkan, terutamanya apabila kos berkaitan perubatan dan jangka hayat terus meningkat," katanya.