BAGI memudahkan pengambilan ubat setiap hari, ramai memilih untuk menggunakan bekas penyimpanan pil atau pill box dengan menyusun ubat mengikut waktu atau hari.Namun, cara menyimpan ubat juga perlu diberi perhatian bagi memastikan kualiti dan keberkesanannya terjaga. Menerusi satu video yang dikongsikan di media sosial, seorang lelaki dilihat mengeluarkan sejumlah ubat daripada pek asal sebelum memasukkannya ke dalam bekas ubat untuk memudahkan pengambilan.Perkara itu mendapat perhatian ahli farmasi, Izzuddin Mohamad apabila tampil memberikan nasihat mengenai cara penyimpanan ubat yang lebih sesuai.Menurutnya, penggunaan pill box sememangnya satu langkah yang baik kerana ia dapat memudahkan seseorang mengambil ubat mengikut jadual.Bagaimanapun, Izzudin menasihatkan supaya ubat tidak terus dikeluarkan sepenuhnya daripada pek lepuh (blister) dan dibiarkan terdedah."Bagus dah encik sediakan pill box supaya senang nak makan ubat tapi ada beberapa nasihat dan teguran. Kalau boleh jangan terus buka ubat daripada blister."Sebab ubat akan rosak cepat sekiranya dibiarkan terdedah macam tu," ujarnya membalas hantaran asal tersebut di Threads.Sehubungan itu, Izzuddin menyarankan supaya blister dipotong kecil-kecil mengikut jumlah ubat yang diperlukan sebelum dimasukkan ke dalam bekas.Bagaimanapun, dia mengingatkan supaya potongan blister tersebut tidak sampai menyebabkan bahagian yang mengandungi ubat terbuka atau bocor.Nasihat tersebut secara tidak langsung mengingatkan orang ramai supaya memastikan ubat diambil mengikut jadual serta memberi perhatian kepada cara ubat disimpan agar kualitinya kekal terpelihara.Bukan itu sahaja, Izzuddin turut menegur kesilapan kedua yang dilakukan individu berkenaan iaitu cara menyusun ubat yang mempunyai rupa hampir sama.Menurutnya, kedua-dua pil dalam video tersebut kelihatan berwarna putih dan hampir serupa, sedangkan ia merupakan ubat berbeza iaitu amlodipine dan atorvastatin yang perlu diambil pada waktu berlainan.Jelasnya, satu perlu diambil pada waktu pagi manakala satu lagi pada waktu malam sebelum tidur.Justeru, dia menyarankan supaya setiap ruang dalam pill box dilabel dengan nama ubat serta waktu pengambilannya bagi mengelakkan kekeliruan.Langkah mudah itu juga boleh membantu mengurangkan risiko medication error (ME) atau kesilapan pengubatan, sekali gus memastikan pengambilan ubat lebih teratur dan selamat.