HASRAT mahu ruang dalaman kereta sentiasa berbau harum akhirnya bertukar menjadi mimpi ngeri buat seorang pemilik kenderaan apabila cecair pewangi yang gantung dilaporkan bocor sehingga merosakkan permukaan konsol tengah.Menerusi perkongsian di media sosial, individu dikenali sebagai Mida menunjukkan beberapa keping gambar bahagian tersebut yang dipenuhi kesan putih serta tompokan di sekitar gear. "Sedih ya, gara-gara perfume gantung-gantung tu semua jadi macam ni. Ada tip? Atau memang dah tak boleh hilang?," tulisnya.Berdasarkan gambar yang dikongsikan, permukaan panel hitam kenderaan itu kelihatan mempunyai banyak kesan tompokan, manakala beberapa bahagian lain turut menunjukkan perubahan pada lapisan permukaan sehingga nampak seperti terhakis teruk.Difahamkan, kerosakan pada permukaan tersebut berpunca daripada titisan cecair pewangi kereta yang bocor lalu terkena bahagian berkenaan.Hantaran itu dengan pantas meraih perhatian dan mengundang pelbagai reaksi netizen yang cuba membantu pemilik berkenaan memahami punca sebenar serta mencari jalan penyelesaian.Menurut seorang individu mempunyai latar belakang dalam Sains Bahan, kebanyakan pewangi kereta jenis cecair mengandungi alkohol seperti etanol yang berpotensi memberi kesan kepada sesetengah bahan plastik."Kebanyakan pewangi kereta mengandungi alkohol. Keburukannya adalah kalau kena plastik, akan terhakis. Dalam erti kata lain, alkohol akan larut (menghakis) bahan plastik."Jadi elakkan guna perfume kereta jenis cecair. Gel tak apa. Saya kongsi ilmu je sebab background saya. Saya tak rasa awak ada pilihan lain selain daripada buat interior restoration," cadangnya, membalas hantaran itu.Dalam pada itu, seorang lagi netizen mencadangkan pemilik kereta mendapatkan bantuan daripada kedai yang menawarkan perkhidmatan pemulihan interior kenderaan.Walaupun punca sebenar kerosakan perlu dikenal pasti pakar, perkongsian tersebut menjadi peringatan kepada pemilik kenderaan supaya lebih berhati-hati ketika memilih dan meletakkan pewangi di dalam kereta.Ini termasuklah produk jenis cecair yang berisiko tertumpah atau terkena permukaan tertentu.