SEBAIK sahaja pulang dari tempat kerja, alangkah terkejutnya apabila mendapati kenderaan yang ditinggalkan di parkir awam berbayar sudah 'terlantar' tanpa dua tayar.Demikian kisah malang seorang wanita yang mendakwa dua tayar keretanya dicuri ketika diletakkan di sebuah kawasan parkir berhampiran Stesen LRT Laluan Shah Alam Aliran 3 (LRT3). Insiden itu berlaku pada Selasa dan hangat menjadi bualan pengguna media sosial.Melalui hantaran yang dimuat naik, kereta Perodua Ativa milik mangsa dikenali sebagai Nani Jismani dilihat ditinggalkan dalam keadaan berbatu-bata selepas dua tayarnya dicuri.Manakala, tayar bahagian hadapan sebelah kiri pula dipercayai gagal dilarikan selepas skru tayar berkenaan patah akibat cubaan paksa oleh suspek.Bagi mengelakkan spekulasi, Nani turut menjelaskan pintu keretanya yang kelihatan terbuka dalam gambar tular bukanlah disebabkan pencuri menceroboh masuk, sebaliknya dibuka sendiri olehnya ketika mahu memasukkan barang.Ujarnya lagi, kenderaan tersebut masih menggunakan rim standard keluaran kilang dan dilengkapi kamera papan pemuka (dashcam), namun malangnya peranti itu tidak merakam secara 24 jam.Difahamkan, kawasan parkir terbabit diselia oleh pihak ketiga dan bukannya di bawah pengurusan Rapid KL.Adakah hak pengguna dilindungi?Namun, secara umum kejadian seumpama ini menimbulkan persoalan mengenai hak pemilik kenderaan apabila berlaku kehilangan atau kerosakan ketika kereta ditinggalkan di kawasan parkir berbayar.Sedarkah anda, apabila kenderaan diparkir di kawasan awam, hotel atau mana-mana lokasi berbayar, kebiasaannya terdapat notis atau papan tanda yang menyatakan keselamatan kenderaan adalah tanggungjawab pemilik atau park at your own risk.Notis seperti itu juga biasanya tertera pada tiket parkir.Persoalannya, jika pengguna sudah membayar caj untuk meletakkan kenderaan di sesuatu kawasan, adakah pihak pengurusan parkir sememangnya tidak boleh dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku kejadian seperti kecurian?Sebenarnya, terdapat kes mahkamah yang menunjukkan pengurusan parkir boleh dipertanggungjawabkan sekiranya dapat dibuktikan berlaku kecuaian.Contoh papan tanda yang diletakkan di kawasan parkir awam. -Gambar hiasanPada Disember 2020, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan sebuah Mahkamah Sesyen dalam kes membabitkan Euro Rent A Car Sdn Bhd dan Sunway Parking Services Sdn Bhd, dengan syarikat pengurusan parkir berkenaan diarahkan membayar ganti rugi RM117,000.Kes tersebut bermula pada 25 April 2016 apabila Euro Rent A Car menyewakan sebuah kereta bernombor pendaftaran BNS 9066 kepada seorang warga Perancis, Hemici Sofiane.Namun kereta tersebut hilang pada sebelah malam, selepas dua hari diletakkan di kawasan parkir berkenaan.Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kereta berkenaan dicuri dan berjaya dibawa keluar dari kawasan parkir tanpa tiket.Pencuri dipercayai mengekori rapat sebuah kenderaan lain yang keluar dari kawasan berkenaan dan keluar sebelum palang kawalan sempat diturunkan.Mahkamah Sesyen kemudian mendapati syarikat tersebut bertanggungjawab dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pengecualian yang menyatakan pemilik kereta bertanggungjawab terhadap keselamatan kenderaan masing-masing.Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi, mendapati mangsa telah membayar caj parkir dan pihak pengurusan tidak boleh bergantung kepada terma yang meletakkan tanggungjawab penuh terhadap pemilik kenderaan.Keputusan itu kemudiannya diperakukan oleh Mahkamah Tinggi pada 2018 sebelum Mahkamah Rayuan turut mengekalkannya pada Disember 2020.Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Hanippah Farikullah, Lee Swee Seng dan Che Mohd Ruzima Ghazali sebulat suara bersetuju dengan keputusan tersebut.Mahkamah Rayuan turut menetapkan Sunway Parking Services mempunyai tanggungjawab memenuhi perjanjian apabila kenderaan berkenaan diletakkan di kawasan parkirnya.Syarikat yang menawarkan perkhidmatan parkir berkenaan tidak boleh mengelak kebertanggungjawaban dengan menggunakan 'fasal pengecualian' dalam perjanjian tersebut.