suria

Abdullah harap sikap baru AS terhadap Islam

DOHA: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap pentadbiran baru Amerika Syarikat, di bawah Presiden Barack Obama yang baru mengangkat sumpah, akan membuka jalan ke arah satu sikap baru dalam menangani masalah yang dihadapi dunia Islam di mana Amerika bersekongkol dengannya.

"Saya mengalu-alukan ucapan pembukaannya dan saya yakin bahawa perubahan besar akan dibuat dalam dasar luar Amerika Syarikat terutama berhubung sesetengah dasar yang disifatkan agak bertentangan.

"Saya berharap Amerika akan bersedia untuk terbabit dalam perbincangan dan untuk berunding dan bukan seperti yang berlaku sebelum ini, sebagai contoh mengenai sesetengah dasar yang disifatkan agak bertentangan," kata Abdullah kepada media di akhir lawatan dua hari ke Qatar hari ini.

Abdullah mengulas ucapan Obama selepas upcara mengangkat sumpah yang di antara lain beliau menyebut: Kepada dunia Islam, kami mencari langkah-langkah baru ke hadapan, berdasarkan kepada kepentingan bersama dan saling hormat menghormati".

Abdullah berkata kenyataan itu setakat ini adalah positif seperti pendirian yang ditunjukkannya setakat ini terhadap masalah yang dihadapi dunia Islam di mana Amerika bersekongkol dengannya. "Terdapat banyak isu yang dihadapi umat Islam yang menjejaskan dunia Islam. Tompoktompok panas di dunia ini berlaku di negara-negara Islam dan Amerika terbabit jauh ke dalam dan bersekongkol dengan masalah-masalah itu," kata Abdullah.

Abdullah berkata Amerika adalah sebuah negara yang amat besar dan jika ia bersedia untuk mendengar suara-suara rintihan dari negara-negara lebih kecil, perkara ini adalah amat baik bagi masa depan dunia.

Amerika, katanya, bertanggungjawab dalam banyak isu yang berlaku di merata-rata tempat di seluruh dunia.

Mengenai pelaksanaan dasar luar Amerika, Abdullah berkata "Kita masih menunggu dan lihat...beliau (Obama) telah menyatakan perkara yang betul dan kita amat gembira dengannya".

"Kenyataan telahpun dibuat dan apa yang perlu kita buat ialah tunggu dan lihat apakah langkah yang akan beliau lakukan dan sepantas mana beliau akan laksanakan.

"Kita mengalu-alukan kenyataan beliau (Obama)...tetapi kita lebih suka melihat supaya tindakan diambil," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain