suria

Pelajar pondok pilih penjara demi prinsip

KOTA BAHARU: Demi prinsip, seorang pelajar pondok memilih hukuman penjara daripada denda yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menunggang motosikal dengan memakai serban dua tahun lalu.

Ahmad Nasir Darus, 28, pelajar Pondok Pasir Tumboh di sini, enggan membayar denda sebanyak RM90 yang dikenakan oleh Majistret Tengku Amalin A'Ishah Putri Sultan Ismail Petra sebaliknya memilih hukuman penjara selama dua hari.

Mahkamah menolak permohonan peguam bela, Ahmad Rizal Effande Zainal, meminta mahkamah menangguhkan keputusan itu bagi membolehkannya membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Ketika di luar mahkamah, Ahmad Rizal Effande berkata anak guamnya memilih untuk dipenjara atas sebab prinsip yang dia tidak bersalah.

Sewaktu Ahmad Nasir dibawa ke kenderaan polis bagi dihantar ke penjara, kira-kira 100 pelajar pondok itu melaungkan "Allahuakbar" beberapa kali dan disusuli bacaan doa.

Dia telah disaman kerana menunggang motosikal pada 6.30 petang 20 Sept 2007 di Jalan Pasir Tumboh di sini tanpa memakai topi keledar, dan sewaktu dihadapkan ke mahkamah pada 4 Nov 2007, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pertuduhan yang dikenakan terhadapnya mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibaca bersama dengan Seksyen 128(1) akta sama, memperuntukkan denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Cif Inspektor Mohd Yusri Mamat.

Sewaktu prosiding hari ini, keadaan kecoh seketika apabila polis enggan membenarkan sebahagian besar rakan pelajar itu memasuki galeri awam mahkamah kerana tidak memakai kasut seperti yang disyaratkan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain