PMR: Ramai dapat A, prestasi bahasa Inggeris meningkat - Semasa | mStar

PMR: Ramai dapat A, prestasi bahasa Inggeris meningkat

PUTRAJAYA: Seramai 26,378 pelajar atau 5.96 peratus daripada 472,060 calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini mendapat Gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil, meningkat daripada 5.65 peratus pada tahun lepas dan 4.83 peratus pada 2006.

"PMR tahun ini juga menunjukkan peningkatan dalam semua mata pelajaran kecuali Geografi dan Bahasa Arab Komunikasi dengan Bahasa Inggeris menunjukkan peningkatan tertinggi iaitu 3.6 peratus," kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom ketika mengumumkan keputusan peperiksaan itu di sini hari ini.

Beliau berkata pencapaian jurang perbezaan antara pelajar bandar dan luar bandar semakin mengecil terutamanya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi mata pelajaran Matematik pelajar luar bandar ialah 2.7 peratus berbanding 2.1 peratus di bandar manakala GPMP mata pelajaran Sains ialah 0.3 peratus pelajar luar bandar dan 0.3 peratus pelajar di bandar.

"Perbezaan yang kian mengecil itu menunjukkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan menerusi teras strategik yang kedua iaitu merapatkan jurang pelajar bandar dan luar bandar berjaya mencapai matlamatnya," katanya.

Mengenai jumlah calon yang tidak mencapai tahap penguasaan minimum dalam mata pelajaran yang diambil dengan mendapat sekurang-kurangnya semua D, Alimuddin berkata ia menunjukkan penurunan daripada 63.53 peratus tahun lepas kepada 62.93 peratus tahun ini.

Jumlah pelajar yang memperoleh semua E pula ialah 440 (0.10 peratus) berbanding 559 (0.13 peratus) pada 2007 dan 524 (0.13 peratus) pada 2006.

"Majoriti calon pada tahun ini juga mendapat gred yang lebih baik daripada Gred C untuk 12 mata pelajaran dan ini adalah sesuatu yang membanggakan," katanya.

Alimuddin berkata bilangan pelajar yang menjawab soalan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris turut menunjukkan peningkatan.

Pelajar yang menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris meningkat daripada 51.2 peratus berbanding 21.5 peratus tahun sebelumnya manakala pelajar yang menjawab soalan Matematik pula ialah 26.9 peratus berbanding 4.6 peratus tahun sebelumnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

PKR gesa sokong usul kutuk serangan Israel

Artikel Berikut

Tuanku Muhriz dimasyhur Yang Dipertuan Besar

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Polis siasat dakwaan Syed Saddiq diugut