suria

4, 000 anggota NGO Muslim serah memorandum

PULAU PINANG: Kira-kira 4,000 angota Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berhimpun secara aman di padang Polo di sini sebelum menuju ke kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas di Jalan Utama, untuk menyerahkan satu memorandum.

Anggota dari 20 NGO di bawah Yayasan Aminul Ummah Malaysia itu mulai berkumpul di padang itu sejak pukul 8 pagi sempena sambutan Maal Hijrah.

Presidennya Md Radzi Daud berkata tujuan perhimpunan itu adalah untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap tindakan beberapa pihak termasuk pemimpin politik, yang sering menyentuh isu-isu perkauman yang sensitif, termasuk mempersoalkan hak orang Melayu dan perkara-perkara yang berkaitan ketuanan Melayu.

"Setiap kaum mempunyai hak masing-masing dan hak orang Melayu termaktub dalam Perlembagaan yang bertarikh 1957 yang dipersetujui oleh semua kaum di Malaysia ketika itu," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya morandum itu bertujuan menggesa semua pihak, terutama pemimpin-pemimpin politik, supaya tidak lagi mempersoalkan hak orang Melayu dan sentiasa menghormati semua kaum yang tinggal di Malaysia.

Md Radzi berkata NGO itu merasakan bahawa kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab tidak seharusnya timbul kerana ia boleh membangkitkan ketegangan kaum dan menjejaskan keharmonian antara kaum dalam negara.

"Kami mahukan supaya semua ini dihentikan, dan itu sebabnya perhimpunan pagi ini yang bertemakan 'integrasi kaum' diadakan, dengan mendapat kelulusan polis," katanya dan menambah bahawa semua kaum yang tinggal di Malaysia perlu saling menghormati dalam usaha mewujudkan persekitaran yang harmoni.

Difahamkan kumpulan itu pada mulanya merancang untuk mengadakan perarakan dari Jalan Masjid Negeri ke kediaman rasmi Tun Abdul Rahman, namun memandangkan polis hanya meluluskan permit untuk perhimpunan selama dua jam sahaja, rancangan itu dibatalkan.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain