suria

Penyelesaian konflik Israel-Palestin perlu campur tangan antarabangsa

KUALA LUMPUR: Masyarakat antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara kuasa besar (Amerika Syarikat, Rusia dan Kesatuan Eropah dan PBB) perlu berusaha bagi memastikan tindakan ketenteraan oleh Israel di Gaza tidak merebak ke negara lain di rantau itu.

Menteri Luar Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata mereka perlu berusaha bagi mengadakan genjatan senjata dan mengerahkan pasukan antarabangsa dengan segera bagi meredakan konflik itu dan menstabilkan keadaan dengan mengambil langkah membina keyakinan di antara kedua pihak dengan tujuan untuk mengembalikan semula proses perdamaian.

"Saya telah menghantar nota diplomatik kepada Setiausaha Agung OIC dan PBB supaya mengambil perhatian terhadap perkembangan ini dan mengambil tindakan bersama yang sesuai," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Rais berkata beliau juga telah mengutus nota yang sama kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Dr. Condoleeza Rice supaya berusaha mengekang keganasan Israel dan memulakan penempatan yang komprehensif dan segera, dengan wujudnya dua negara, Israel dan Palestin, supaya dapat hidup dalam kejiranan yang aman dan selamat dalam persempadanan yang ditetapkan berdasarkan pelan damai dan resolusi Majlis Keselamatan PBB.

Katanya, Malaysia dengan tegas mengutuk siri keganasan serangan udara Israel di Gaza pada 27 Dis yang meragut sekurang-kurangnya 367 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan lebih 600 orang.

"Malaysia tetap dengan pendirian bahawa tiada alasan untuk menggunakan kekerasan yang tidak seimbang, tidak berperi kemanusiaan di Gaza dan menolak sepenuhnya tindakan yang dikenakan ke atas rakyat Palestin," katanya.

Rais berkata serangan Israel ke atas Gaza menunjukkan Israel tidak mempedulikan undang-undang antarabangsa dan bertentangan dengan piagam PBB.

"Malaysia menganggap tindakan itu sebagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan," katanya.

Beliau menggesa Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dan Majlis Keselamatan PBB dan pihak yang berkaitan menggunakan sekatan sepenuhnya terutama bagi mengelakkan lebih banyak kecederaan terhadap penduduk yang tidak berdosa dan merosakkan harta benda dan untuk mengekang tindakan itu daripada terus memburukkan keadaan.

"Tindakan ganas dan ketenteraan hanya akan memburukkan keadaan dan merosakkan usaha banyak pihak dan masyarakat antarabangsa ke arah perdamaian dan harapan untuk penyelesaian aman kepada konflik itu," katanya. BERNAMA

Artikel Lain