suria

Usaha jumpa Anwar sekadar gimik tutup malu - Syed Husin

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Syed Husin Ali berkata, hasrat sekumpulan pemimpin India dalam parti itu yang mahu menemui Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan isu kononnya kaum India dipinggirkan hanya "sekadar gimik menutup air muka."

Syed Husin berkata, rancangan terbaru kumpulan itu, yang turut memutuskan untuk kekal dalam PKR, sekadar mahu menutup malu ekoran usaha mereka untuk mengumpulkan pemimpin kanan India dalam PKR semalam gagal.

"Bagi saya mereka sekadar nak tutup air muka kerana sebelum ini mereka heboh-hebohkan nak keluar (parti)... tetapi tak keluar pun," katanya kepada mStar Online hari ini.

Oleh yang demikian jelas beliau, mereka terpaksa mengatur pertemuan dengan Anwar iaitu penasihat parti itu, dengan alasan untuk mengadakan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian ke atas isu-isu yang mereka hadapi.

Semalam pengerusi jawatankuasa informal Jawatankuasa Perhubungan Masyarakat India PKR, P. Jenapala berkata, pihaknya memutuskan untuk kekal dalam PKR dan masih yakin dapat mencari penyelesaian terhadap masalah yang wujud apabila menemui Anwar kelak.

Mesyuarat jawatankuasa tersebut hanya dihadiri oleh seorang wakil rakyat kaum India PKR iaitu bekas Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang juga Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam.

Bagaimanapun Syed Husin mengakui mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian.

"Mereka nak jumpa, boleh jumpa. Sama ada Anwar nak jumpa atau tidak itu hak Anwar sendiri.

"Tapi saya yakin yang Anwar akan jumpa mereka," katanya.

Ditanya sama ada permintaan bagi mengadakan pertemuan dengan Anwar ini dianggap sebagai kata dua yang diberi kepada parti untuk mereka terus kekal dalam PKR atau mengambil keputusan keluar, Syed Husin enggan mengulas lanjut kerana perkara sedemikian masih belum berlaku.

"Itu tak berlaku lagi, tapi buat masa ini mereka masih kekal sebagai ahli PKR," katanya.

Dalam pada itu Ketua Penerangan PKR, Tian Chua berkata, Manikavasagam dan Jenapala mempunyai hak sebagai ahli dalam parti untuk mengaturkan pertemuan dengan Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat.

"Mereka boleh jumpa, tapi bagi saya jika mereka nak bawa isu perkauman yang kononnya kaum India tidak mendapat tempat dalam PKR... isu ini tak wujud.

"Tak wujud langsung dakwaan yang mengatakan kita diskriminasikan kaum-kaum tertentu," katanya.

Ahli Parlimen Batu itu menjelaskan bahawa PKR tidak pernah mengamalkan sebarang diskriminasi kaum kerana parti itu memperjuangkan hak dan kepentingan masyarakat tanpa mengambil kira faktor agama dan kaum.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain