suria

Bakal pencabar Samy: Surat tunjuk sebab MIC 'kabur'

SURAT... M. Muthupalaniappan yang bakal mencabar Datuk Seri S. Samy Vellu (kanan) untuk jawatan Presiden tahun depan diberi 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab Jawatankuasa Disiplin MIC.
SURAT... M. Muthupalaniappan yang bakal mencabar Datuk Seri S. Samy Vellu (kanan) untuk jawatan Presiden tahun depan diberi 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab Jawatankuasa Disiplin MIC.
SURAT... M. Muthupalaniappan yang bakal mencabar Datuk Seri S. Samy Vellu (kanan) untuk jawatan Presiden tahun depan diberi 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab Jawatankuasa Disiplin MIC.

PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden MIC, Datuk M. Muthupalaniappan telah menerima surat tunjuk sebab daripada Jawatankuasa Disiplin, yang mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan memudaratkan parti, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, oleh kerana surat tunjuk sebab itu tidak menjelaskan dengan terperinci kenyataan yang dimaksudkan, Muthupalaniappan berkata, beliau telah meminta Jawatankuasa Disiplin agar membekalkannya kesemua kenyataan yang dikategorikan bertentangan dengan kepentingan parti.

"Saya minta mereka menyediakan kenyataan-kenyataan yang dirujuk oleh Jawatankuasa Disiplin bagi membolehkan saya menjawab surat tunjuk sebab ini.

"Surat tunjuk sebab yang dikeluarkan tidak jelas kandungannya. Saya berharap kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan sewajarnya dibaca secara menyeluruh," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Muthupalaniappan mempunyai masa 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab bertarikh 23 Disember itu.

Katanya, beliau akan menjawab surat tunjuk sebab itu dalam 14 hari jika dibekalkan segala maklumat berkaitan dengan dakwaan tersebut.

"Saya tidak mengeluarkan kenyataan yang memudaratkan parti ataupun mempertikaikan kepimpinan Datuk Seri S. Samy Vellu bahawa beliau tidak melakukan apa-apa untuk masyarakat India.

"Saya juga pernah ada mengatakan yang Samy Vellu ada melakukan sesuatu untuk masyarakat India tetapi (dalam peredaran masa) beliau telah gagal memenuhi harapan masyarakat India... ini kenyataan saya, bukan sebaliknya," kata bekas Exco Kerajaan Negeri Sembilan ini.

Malah, dalam surat balas yang dikemukakan kepada Setiausaha Agung parti dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan itu, beliau juga meminta parti itu tidak mengadakan proses penamaan calon sebelum kesnya selesai didengar.

"Saya meminta agar proses penamaan calon (untuk jawatan Presiden) tidak diadakan bagi membolehkan hak saya untuk bertanding tidak dinafikan," katanya.

Minggu lalu, Muthupalaniappan menyifatkan pucuk kepimpinan MIC terdesak untuk mengambil tindakan disiplin kerana khuatir beliau akan memberi cabaran sengit terhadap Samy Vellu dalam pemilihan presiden awal tahun depan.

Sambil mengakui bahawa telah menjangkakan dari awal yang beliau akan berhadapan dengan situasi sedemikian, Muthupalaniappan berkata, "saya akan lawan sampai habis-habisan untuk mendapatkan keadilan" jika menerima surat tunjuk sebab itu kelak.

Pemilihan Presiden diadakan awal tahun depan manakala pertandingan untuk jawatan-jawatan lain dijangka September.

Samy Vellu, Presiden MIC paling lama berkhidmat mahu mempertahankan kerusinya tahun depan.

Artikel Lain