suria

Anwar tidak yakin pemimpin PKR negeri

KUCHING: Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pengerusi perhubungan parti itu di Sabah dan Sarawak membuktikan beliau sendiri tidak yakin dengan kepimpinan PKR di kedua-dua negeri.

Menteri Perumahan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg berkata Anwar juga cuba menggunakan kedudukannya di peringkat pusat untuk menguasai aktiviti PKR di peringkat negeri di Sabah dan Sarawak.

"Saya dapat merasakan Anwar tidak yakin kepada Dominique Ng (Ketua PKR Sarawak) untuk menerajui kempen PKR di negeri ini, beliau juga mahu menguasai PKR di Sarawak dan Sabah tanpa memberi peluang kepada pemimpin mereka di negeri," katanya selepas menutup program Motivasi Pelajar anjuran Persatuan Kebajikan Petra Jaya dan Yayasan Sarawak di sini hari ini.

Baru-baru ini Anwar mengumumkan beliau akan menjadi pengerusi perhubungan PKR untuk Sabah dan Sarawak sebagai langkah untuk merampas dua negeri terbabit daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuk Sarawak yang bakal menghadapi pilihan raya negeri selewat-lewatnya pada tahun 2011.

Johari yang juga Timbalan Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu berkata BN negeri tidak pernah rasa takut dan bimbang dengan tindakan PKR untuk meningkatkan lagi kempen mereka di negeri ini termasuk apa yang telah mereka lakukan di beberapa kawasan di luar bandar di Sarawak.

Katanya rakyat di negeri ini harus memikirkan apa yang telah berlaku di Selangor hari ini dan ia jelas membuktikan PKR tidaklah sehebat yang mereka katakan sebelum ini.

"Fikirlah apa yang berlaku di Selangor hari ini, PKR ada masalah di sana," katanya. BERNAMA

Artikel Lain