suria

Ugut: Bekas menteri Kabinet Sabah dipenjara 6 bulan

[DIKEMAS KINI] KOTA KINABALU: Bekas menteri Kabinet Sabah, Datuk Conrad Mojuntin dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana melakukan ugutan jenayah.

Beliau dipenjara kerana melakukan ugutan jenayah terhadap seorang ahli perniagaan Doughty Disimon, 30, di luar SJD Cafe and Sports belakang Public Bank, Donggongon, Penampang dekat sini pada pukul 3.30 pagi, 23 Oktober 2005.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Abdul Rahman Sebli membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dan menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin.

Abdul Rahman turut mendenda Conrad, 60, dan anak saudaranya, David Mojuntin, 44, RM2,000 atau tiga bulan penjara setiap seorang kerana sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Chee Hee Fatt, 45, di tempat sama pada pukul 4 pagi hari yang sama.

Mereka membayar denda berkenaan.

Pada 17 Disember lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret membebaskan kedua-dua tertuduh daripada kesemua tuduhan pada Mac tahun lepas.

Semasa membenarkan rayuan itu, Abdul Rahman berkata Majistret telah terkhilaf dalam keputusannya apabila memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan melampaui keraguan munasabah.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Zahir Hussein Shah manakala Timbalan Pendakwa Raya Salim Soib mewakili pendakwaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain