suria

242 saman tidak pakai tali pinggang belakang

KUALA LUMPUR: Sejumlah 242 saman bagi kesalahan tidak memakai tali pinggang belakang, dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Operasi Ops Ambang Tahun Baru di 28 lokasi di seluruh negara bermula tengah malam tadi.

Johor mencatat jumlah saman tertinggi dengan 95 saman dikeluarkan ke atas pengguna kenderaan persendirian dan komersil yang ingkar arahan penggunaan tali pinggang belakang yang berkuatkuasa hari ini, kata Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Salim Parlan.

Beliau berkata, mulai malam tadi kesemua pengguna kenderaan wajib memakai tali pinggang belakang dan kompaun sebanyak RM300 akan dikenakan bagi pengguna kenderaan yang enggan berbuat demikian.

Seramai 500 pegawai JPJ terbabit dalam operasi mulai 10 malam dan berakhir pukul 2 pagi itu, kata beliau kepada Bernama di sini hari ini.

Di Pulau Pinang hanya enam saman dikeluarkan bagi kesalahan itu dan ini "secara tidak langsung menunjukkan kempen pemakaian tali pinggang belakang ini berjaya."

"Statistik juga menunjukkan setiap tahun hampir 300 kematian dicatatkan kerana pengguna kenderaan yang bersikap sambil lewa dengan tidak memakai tali pinggang di belakang," kata Salim.

Dalam operasi itu, kata beliau, JPJ turut mengeluarkan 550 saman kerana kesalahan tiada lesen memandu dan tempoh sah lesen telah tamat.

"Selain itu, 182 saman dikeluarkan untuk kesalahan cukai jalan tamat tempoh dan 59 kenderaan telah disita kerana tidak mempunyai cukai jalan.

"Sementara 72 saman dikeluarkan atas kesalahan lampu High-Intensity Discharge (HID)," katanya.

Beliau berkata lampu HID telah dilarang penggunaannya sejak awal Disember lepas kerana cahaya putih dari lampu jenis ini boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

"HID atau dikenali lampu Xenon amat berbahaya kerana kadar silau yang tinggi dari lampu itu berbahaya kepada pemandu lain.

Sepanjang tempoh Januari hingga akhir Disember lalu, katanya, JPJ telah memeriksa lebih 1.8 juta kenderaan dengan tujuh peratus pemilik kenderaan itu, atau 130,547 orang telah ditahan atas kesalahan tiada lesen atau lesen tamat tempoh.

"Sementara satu peratus atau 19,075 orang kerana kesalahan tiada cukai jalan atau cukai jalan tamat tempoh," katanya.

Sementara itu, di KEDAH, Pengarah JPJ negeri Jaafar Mohamed berkata, operasi pertama yang diadakan di kawasan Sungai Petani mulai 12 tengah malam tadi mengeluarkan saman kepada 12 penumpang belakang kereta yang tidak memakai tali pinggang keledar.

Dalam operasi dua jam itu, "kesemua yang dikenakan saman itu adalah orang dewasa dan ini menunjukkan sikap rakyat yang tidak mahu mematuhi undang-undang walaupun ianya adalah untuk keselamatan nyawa mereka sendiri," katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah JPJ negeri Kamal Saad berkata sebanyak 11 saman dikeluarkan dan kebanyakan pemandu dan penumpang memberikan alasan tidak mengetahui peraturan baru itu walaupun pemakaian tali pinggang belakang sudah diuar-uarkan beberapa bulan lepas.

Operasi yang dikendalikan oleh seramai 78 pegawai JPJ yang bermula dari pukul 10 malam itu diadakan di tiga kawasan iaitu Senawang, Mambau dan Ampangan, katanya.

Di PERLIS, Pengarah JPJ negeri Abd Rahman Hussain berkata 12 orang disaman kerana tidak memakai tali pinggang belakang dalam operasi bersepadu dengan kerjasama Jabatan Imigresen, Bahagian Narkotik Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kastam Diraja Malaysia.

Beberapa kenderaan turut disita ekoran tempoh tamat cukai jalan manakala AADK telah mengesan tujuh kes, Jabatan Imigresen (dua kes), bahagian narkotik (dua kes) dan JAS (satu kes), katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain