suria

Jenazah Almarhum Tuanku Ja'afar dibawa ke Seri Menanti

SULAN Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Bainun berkenan menziarahi jenazah Almarhum Tuanku Ja'afar di Hospital Tuanku Ja'afar hari ini. Baginda diiringi kenalan rapat Almarhum, Datuk Ayub Ismail (kiri). - fotoBERNAMA
SULAN Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Bainun berkenan menziarahi jenazah Almarhum Tuanku Ja'afar di Hospital Tuanku Ja'afar hari ini. Baginda diiringi kenalan rapat Almarhum, Datuk Ayub Ismail (kiri). - fotoBERNAMA
SULAN Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Bainun berkenan menziarahi jenazah Almarhum Tuanku Ja'afar di Hospital Tuanku Ja'afar hari ini. Baginda diiringi kenalan rapat Almarhum, Datuk Ayub Ismail (kiri). - fotoBERNAMA

[DIKEMAS KINI] SEREMBAN: Jenazah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, kini ditempatkan di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah untuk penghormatan terakhir oleh kerabat diraja, pemimpin dan orang ramai mulai esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Norzam Mohd Nor berkata, istiadat pengebumian akan diadakan Isnin ini selepas solat asar.

Almarhum Tuanku Ja'afar, 86, mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini kirakira 11.45 pagi ini selepas mengadu sakit kepala dan tidak selesa.

Antara kenamaan yang menziarahi jenazah Almarhum di HTJ ialah Sultan Perak Sultan Azlan Shah, Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun dan Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak.

Terdahulu, jenazah Almarhum dibawa keluar dari HTJ kira-kira 6.55 petang.

Mengiringi jenazah dari wad diraja hingga ke kenderaan diraja di pekarangan klinik pakar HTJ ialah Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin, anakanda baginda, Tunku Imran dan Tunku Puteri Jawahir, menantu baginda Datuk Seri Tengku Azlan Almarhum Sultan Abu Bakar, Mufti Kerajaan Negeri Datuk Mohd Murtadza Ahmad serta kerabat diraja yang lain.

Jenazah Almarhum diusung oleh pegawai pengiring Briged 1 Infantri Kem Rasah dan dibawa pulang ke Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah dengan diiringi kenderaan dan motosikal pengiring Polis Diraja Malaysia.

PERSIDANG KHAS LANTIK PENGGANTI:

Sementara itu, Norzam berkata, satu persidangan akan diadakan esok di antara Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan untuk memilih pengganti Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Katanya pelantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru akan diumumkan pada Isnin ini sebelum jenazah Almarhum Tuanku Ja'afar disemadikan di makam diraja Seri Menanti. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mangkat

[DIKEMAS KINI] SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini pada pukul 11.45 pagi tadi.

Baginda berusia 86 tahun.

Demikian disahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norzam Mohd. Nor, lapor Bernama.

Tuanku Ja'afar lahir pada 19 Julai 1922 di Klang, Selangor dan merupakan Yang di-Pertuan Agong yang ke-10 iaitu dari 26 April 1994 hingga 25 April 1999.

Norzam yang membuat pengumuman itu di hospital tersebut berkata, Almarhum baginda berada dalam keadaan tidak sihat pagi ini selepas mengadu sakit kepala dan tidak selesa.

"Baginda mengadu kurang sihat dan sakit kepala pada pukul 8.10 pagi dan pihak HTJ telah dihubungi dan dua Pakar Perunding Kanan HTJ, Datuk Dr. Tarmizi Thayaparan dan Datuk Dr K. Sree Raman telah bergegas ke Istana Hinggap di Seremban untuk memberikan rawatan kepada Tuanku," kata beliau pada sidang akhbar khas mengumumkan kemangkatan baginda di Bilik VIP HTJ hari ini.

Turut hadir ialah anggota kerabat diraja Negeri Sembilan, Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zainal Arifin Omar.

Norzam berkata, ketika dua pakar itu tiba di Istana Hinggap pada pukul 8.25 pagi, keadaan baginda terlalu lemah walaupun sedar dan selepas melihat keadaan itu, dua pakar berkenaan mengesyorkan supaya baginda di bawa ke HTJ untuk rawatan segera.

"Berdasarkan itu, baginda telah dibawa ke HTJ dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pelbagai usaha telah dilakukan oleh doktor pakar termasuklah memberi rawatan kecemasan.

"Saya ingin memaklumkan di sini bahawa Tuanku Ja'afar telah mangkat pada pukul 11.45 pagi di HTJ," katanya.

ISTIADAT PENGEBUMIAN ISNIN INI

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa jenazah Almarhum baginda akan dibawa pulang ke Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah petang ini untuk majlis penghormatan terakhir serta menunggu kepulangan anakanda baginda yang masih berada di luar negara.

Katanya, jenazah Almarhum baginda akan ditempatkan di Dewan Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah untuk penghormatan terakhir daripada kerabat Diraja, pemimpin dan orang ramai.

Istiadat pengebumian jenazah Almarhum baginda akan diadakan pada hari Isnin selepas solat asar.

Sehubungan itu, Norzam berkata tempoh berkabung berikutan kemangkatan baginda ialah selama 40 hari, bermula hari ini.

"Semua premis termasuk pejabat kerajaan dan bangunan hendaklah mengibarkan bendera negeri separuh tiang dalam tempoh tersebut.

Dalam tempoh berkabung itu juga, semua kakitangan kerajaan dikehendaki memakai songkok berlilit putih manakala wanita memakai lilitan putih di lengan.

"Semua majlis rasmi kerajaan akan ditangguh dalam tempoh tujuh hari. Premis pusat hiburan dan aktiviti keraian juga hendaklah ditangguhkan selama tujuh hari bermula hari ini,'' katanya.

Katanya, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini bercuti di London telah dimaklumkan mengenai kemangkatan Tuanku Ja'afar pagi ini dan dijangka tiba di sini pada pukul 10 pagi esok.

Artikel Sebelum

Artikel Lain