suria

Zahar nafi perdaya 5 pemimpin Umno sertai PAS

PETALING JAYA: Bekas Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Datuk Zahar Hashim hari ini menafikan beliau memperdaya lima individu termasuk ketua cawangan dan ahli jawatankuasa bahagian itu untuk mengikutnya keluar daripada Umno dan menyertai PAS.

Zahar yang menyertai PAS Rabu lalu berkata, beliau tidak pasti bagaimana dakwaan yang dibuat oleh Naib Ketua bahagian itu, Yahya Hamzah timbul sedangkan beliau tidak pernah berjumpa dengan mana-mana ketua cawangan bagi memujuk mereka meninggalkan Umno.

"Saya sendiri tidak berjumpa dengan satu pun ketua cawangan. Yang ketua-ketua cawangan (yang menyertai PAS) ini memang yang nak ikut saya.

"Ada enam orang ketua cawangan yang setia dengan saya dan mereka inilah yang berjumpa dengan ketua-ketua cawangan lain untuk bertanya sama ada mahu mengikut saya menyertai PAS.

"Semasa mereka (ketua cawangan) ini menandatangani surat keluar Umno pun, hanya enam orang ini yang berada dalam restoran tempat perjumpaan itu sedangkan saya di luar," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Zahar berkata demikian bagi mengulas kenyataan Yahya dalam sebuah akhbar tempatan sebelum ini berhubung lima individu yang terdiri daripada Ketua Cawangan Umno dan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan yang mendakwa telah diperdaya Zahar mengikutnya menyertai Pas dengan meminta individu-individu berkenaan menandatangani borang keluar dari Umno.

Berhubung borang keluar Umno yang didakwa Yahya dibuat sendiri olehnya, Zahar berkata, apa yang dibuatnya adalah surat rasmi untuk keluar daripada Umno.

"Nak keluar Umno mana ada borang. Saya hanya menyediakan surat itu kepada mereka yang betul-betul ingin keluar Umno.

"Saya hanya membuat surat dengan mengisi butiran penuh bagi enam orang yang setia dengan saya sahaja dengan mengisikan nama, nombor ahli, cawangan dan jawatan mereka dalam Umno sedangkan surat-surat lain saya biarkan kosong untuk diisi sendiri oleh mereka yang berminat.

"Ini kerana saya juga tidak yakin mereka ini akan menyertai saya kerana setiap kali perjumpaan antara kami diadakan, hanya enam orang ini sahaja yang datang," katanya.

Ditanya kemungkinan enam orang yang dikatakan setia dengannya itu yang memaksa Ketua-ketua cawangan lain meninggalkan Umno dan menyertai PAS, Zahar berkata, hal itu tidak berlaku.

"Kita tengok betul-betul mana yang ikhlas nak ikut kita. Kita tidak paksa," katanya.

Ketika diminta mengulas lanjut tentang khidmat pesanan ringkas yang dihantar kepada pihak Yahya yang didakwa berbaur ugutan berhubung 12 surat akuan bersumpah menyatakan terdapat perwakilan yang menerima RM500 daripada Yahya untuk mendapatkan pencalonan, Zahar tidak menafikan perkara itu dan beliau bertegas akan melaporkan perkara itu terus kepada Badan Pencegah Rasuah.

"Kita nak terus lapor kepada BPR. Kita tidak mahu lapor kepada Umno kerana kita percaya Umno tidak akan akan menyiasatnya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain