suria

Bahasa Inggeris: Gapena tetap mahu saman, perhimpunan 15 Februari

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) tetap mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan jika meneruskan dasar pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Sehubungan itu badan tersebut menjelaskan, 31 Disember ini bukan bukan tarikh akhir sebenar yang diberikan kepada kerajaan berhubung pendiriannya.

Ketua 1 Gapena, Prof. Emeritus Tan Sri Ismail Hussein berkata, tarikh 31 Disember bukanlah tarikh akhir badan meneruskan perancangannya menggunakan perundangan sebagai langkah susulan.

"Kita masih berbincang dengan teman-teman dari bidang perundangan mengenai cara yang bagaimana boleh kita gunakan untuk selesaikan isu ini.

"Kita juga masih tunggu keputusan kerajaan sama ada teruskan atau tidak dasar ini, tapi jika mereka teruskan maka kita akan tetap akan ambil tindakan undang-undang," katanya kepada mStar Online.

Selasa lalu, Ketua 2 Gapena, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar menegaskan Gapena tidak berganjak dengan ketetapannya untuk mengambil tindakan undang-undang sewajaranya jika Kementerian Pelajaran meneruskan dasar itu yang dilaksanakan sejak enam tahun yang lalu.

Gapena sebelum ini mendesak kerajaan supaya membuat keputusan untuk menukar kembali pengajaran dan pembelajaran keduadua subjek itu kepada bahasa Malaysia.

Ismail menjelaskan, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Gapena hari ini akan turut membincangkan mengenai tindakan susulan mereka bagi menangani isu ini.

Ismail turut menjelaskan bahawa Gapena masih belum berpuas hati dengan kenyataan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang akan mempertimbangkan mengenai pelaksanaan dasar tersebut.

"Kenyataan menteri itu masih belum memuaskan kerana kami mewakili budayawan Melayu tidak bersetuju dengan langkah kerajaan ini.

"Kalau hampir semua budayawan di negara ini keberatan dengan dasar ini, maka sudah pasti ada sesuatu yang kami dikuatiri," katanya.

Beliau turut berharap agar kerajaan menimbangkan pandangan golongan budayawan yang mahukan pengajaran subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Malaysia.

Ditanya mengenai perancangan susulan Gapena jika kerajaan menagguhkan untuk keputusan mengenai perkara ini, beliau berkata, gabungan itu juga sedang merangka untuk mengadakan satu perhimpunan khas bagi menyuarakan bantahan.

"Kita rancang untuk adakan satu perhimpunan pada 15 Februari depan.

"Pilihan tarikh berkenaan adalah simbolik kepada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan," katanya.

Bagaimanapun jelasnya perkara itu masih berada dalam peringkat perbincangan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain