suria

Jangan jadikan pilihan raya kecil Kuala Terengganu medan kempen jawatan parti

TEHRAN: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini memberi amaran kepada anggota Umno supaya tidak menggunakan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu untuk tujuan berkempen bagi memenangi jawatan pada pemilihan Umno Mac depan.

"Ini bukan masanya. Yang penting pada waktu ini yang perlu kita semua ingat ialah sekarang ini parti kita bertanding dengan parti pembangkang, dan kita mesti rasa tanggungjawab untuk mengutamakan kemenangan parti," kata Presiden Umno yang juga Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia pada sidang akhbar di penghujung lawatan rasmi empat hari beliau ke Iran yang berakhir Rabu.

"Tentulah kita tidak mahu ramai anggota Umno yang pergi ke Kuala Terengganu sibuk nak berkempen untuk memenangi pemilihan parti pada bulan Mac untuk jawatan dalam Majlis Tertinggi, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri," kata Abdullah ketika ditanya tentang persiapan BN bagi menghadapi pilihan raya kecil 17 Januari depan.

Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Ismail, 46, diumumkan sebagai calon Barisan Nasional untuk merebut kerusi itu yang kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada 28 Nov lepas.

Pada pilihan raya umum Mac lepas, Razali menewaskan naib presiden PAS Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

Menurut Abdullah, apa yang diperlukan sekarang ialah satu kerjasama bagi membina kekuatan dan pengaruh untuk memenangi pilihan raya kecil berkenaan.

"Yang penting dalam hal ini ialah semua anggota parti dapat bekerjasama, tolong-menolong. Dan diharap tidak ada nanti kelompok-kelompok yang berbalah sesama sendiri," kata Abdullah.

Mengulas lanjut, beliau berkata: "Kemenangan parti kita adalah penting. Jangan mengutamakan kemenangan diri sendiri dalam pemilihan Umno pada bulan Mac nanti. Itu nombor dua. Fikirkan parti dulu, itu yang penting bagi kita."

Abdullah berkata, BN mengketengahkan seorang calon yang berpotensi menjadi wakil rakyat yang baik bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Beliau menjangkakan berlaku pilihan raya kecil yang hebat berikutan wujudnya perebutan antara parti PAS dan calon Umno yang mewakili BN.

"Kita hendak menang kerana kawasan ini dulu memilih calon BN. Kita hendak menang untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan hanya seronok menang, tetapi menang dengan niat dan tujuan untuk berkhidmat kepada rakyat dan untuk membawa pembangunan ke kawasan berkenaan," kata Abdullah.

Dalam perkembangan lain, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata beliau menyerahkan kepada polis untuk menyiasat insiden rumahnya di Kota Tinggi dibaling bungkusan plastik mengandungi cat merah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ia turut menjadi pendirian Datuk Halimah Mohamed Sadique yang menjadi mangsa insiden serupa apabila Pejabat Anggota Parlimen Tenggara itu turut disembur cat merah.

Mereka merupakan anggota delegasi Abdullah dalam lawatan beliau ke Iran.

"Saya tidak bimbang dengan ini kerana ini adalah sebahagian daripada risiko yang kita hadapi tetapi saya harap ia tidak ada kaitan dengan politik Kota Tinggi," kata Syed Hamid.

"Apa-apapun, kita mesti bersikap positif dalam kerja kita. Kita tahu ada orang bersetuju, ada orang tak bersetuju, ada orang suka dan ada yang tak sukakan kita," kata beliau.

Syed Hamid berkata beliau menerima apa yang berlaku dengan sabar dan tabah.

"Yang penting ialah saya tak boleh menggelabah dalam kerja saya," katanya. BERNAMA

Artikel Lain