suria

Dua anggota polis didakwa minta suapan RM2,000

KUANTAN: Dua anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana dituduh meminta wang suapan RM2,000 daripada satu pasangan yang ditangkap sedang berada berdua-duaan pada Jun lepas.

Kpl Abdul Jalil Ahmad, 48, dan Lans Kpl Borhan Yusof, 49, didakwa secara rasuah meminta wang itu daripada Zilatul Lily Abdul Rahman dan Ahmad Asyraf Shakri sebagai dorongan untuk tidak menyerahkan kedua-duanya ke pejabat agama kerana kesalahan berduaduaan di hadapan Taman Pertanian Sultan Ahmad Shah Kuantan di sini.

Kedua-dua tertuduh dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu yang didakwa dilakukan di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Semambu pada 1.30 pagi pada 22 Jun lepas.

Hakim Jagjit Singh membenarkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 23 hingga 25 Feb tahun depan sebagai tarikh perbicaraan.

Borhan turut mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan secara rasuah memperoleh untuk diri suatu suapan RM500 daripada Zilatul Lily sebagai dorongan untuk tidak menyerahkannya ke pejabat agama atas kesalahan serupa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Rahath, Lorong Pasar Baru 3 pada 4.25 petang pada 5 Julai lepas.

Borhan sepatutnya didakwa dengan satu lagi pertuduhan tetapi Timbalan Pendakwa Raya daripada Badan Pencegah Rasuah, Lisa Kwan, memohon satu tarikh lain bagi sebutan semula kes.

Jagjit Singh kemudian menetapkan 8 Jan tahun depan sebagai sebutan semula kes untuk pertuduhan dan penetapan tarikh bicara selain mengekalkan jumlah ikat jamin RM2,000.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Mohd Shariff Abdul Samah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain