suria

Ayah dan anak didakwa pecah amanah

KUALA LUMPUR: Seorang ayah bersama anak lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tiga pertuduhan pecah amanah melibatkan RM341,459, tiga tahun lepas.

Mengikut pertuduhan, Kuan Shin @ Kuan Nyong Hin, 61 dan Kuan Peng Seng, 41, didakwa dengan curangnya menyalahgunakan dengan melupuskan harta iaitu sebuah rumah kedai bernilai RM100,00 di Pusat Perniagaan Kinrara Sesyen 3, Puchong, Selangor, kepada adik perempuan tertuduh, Kuan Nyok Yin.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di 505 Jalan Tiong, Batu 3, Off Jalan Ipoh, pada 7 April 2005.

Kuan Peng merupakan bekas Pengarah Urusan manakala Kuan Shin, Pengarah Eksekutif bagi Syarikat Chin Foh Berhad yang menjalankan perniagaan berasaskan aluminium.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan pecah amanah iaitu dalam urusan pembayaran yuran guaman kepada seorang peguam, Bodipalar Ponudurai Nathan, melibatkan RM157,199, di antara 15 Feb hingga 8 Nov 2005.

Kuan Peng turut menghadapi pertuduhan sama dengan menyalahgunakan wang syarikat berjumlah RM84,260, iaitu dengan membuat bayaran kepada Syarikat Hen Wah Enterprise untuk membuat pengubahsuaian rumah di Damansara Heights, pada 18 Okt 2005.

Bagi kesemua kesalahan itu, mereka yang diwakili peguambela M.K. Thas, didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Asyiqin Zulkifli, menawarkan jaminan RM40,000 bagi setiap pertuduhan untuk kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin dengan alasan kesalahan itu adalah serius.

Hakim S.M. Komathy Suppiah membenarkan Kuan Peng diikat jamin RM90,000 bagi kesemua pertuduhan manakala Kuan Shin RM60,000 dengan seorang penjamin, serta mengarahkan mereka melaporkan diri di Balai Polis Damansara Utama sebulan sekali.

Komathy menetapkan 10 Feb depan untuk sebut semula kes. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahar sah sertai PAS

Artikel Berikut

Artikel Lain