Sekretariat urus dialog ulama dan umara diwujud

KUALA LUMPUR: Satu sekretariat khas yang mampu menjadi forum dialog antara ulama dan umara akan ditubuhkan tidak lama lagi bagi membincangkan isu semasa umat Islam, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, penubuhan sekretariat itu perlu bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama antara ulama dan umara memandangkan pandangan dan pemikiran keduadua institusi itu penting dalam menyelesaikan sebarang isu berhubung umat Islam.

"Asasnya perlu bermula dari rasa saling hormat-menghormati peranan masing-masing dan dapatan-dapatan yang terbit dari perbincangan harus mampu dibawa ke tengah dan menjadi pedoman dan rujukan dalam menyelesaikan masalah semasa," katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan dan dialog bersama Ulama dan Umara di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini berkata, setakat ini Majlis Perundingan Islam di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dicadangkan untuk bertindak sebagai sekretariat tetap itu.

Najib berkata, bagi mengembalikan kewibawaan institusi ulama dan umara di kalangan masyarakat, kedua-dua pihak seharusnya peka terhadap inspirasi, harapan dan kebimbangan masyarakat, selain memahami perkembangan trend dan pemikiran anak muda serta isuisu yang berlegar di kalangan mereka.

Najib turut menyarankan supaya institusi Islam di negara ini mengkaji bagaimana Rasulullah melaksanakan konsep 'zimmi' bagi menguruskan soal perkauman dan toleransi agama pada zaman kepimpinan baginda.

"Rasullullah sewaktu memimpin dahulu pernah mengamalkan konsep 'zimmi' terhadap orang bukan Islam yang tidak memusuhi baginda.

"Mengapa tidak kita kaji dan jadikan konsep ini sebagai asas toleransi agar orang lain memahami Islam sebagai agama yang harmoni. Marilah sama-sama kita berfikir dan bertindak bagi mengembalikan keharmonian negara dengan cara yang bijaksana menggunakan formula yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah," katanya.

Dalam masa yang sama, Rasullullah juga bertegas terhadap elemen yang cuba menodai akidah, keharmonian dan keamanan negara. Sikap Rasulullah terhadap golongan 'harbi' dan munafikin adalah cukup tegas dan jelas, katanya.

Dalam konsep 'zimmi', umat Islam diwajibkan melindungi golongan yang lemah, termasuk orang bukan Islam, selagi mereka tidak menentang agama Islam manakala golongan 'harbi' pula merujuk kepada orang bukan Islam yang menentang pelaksanaan agama Islam secara terang-terangan. Saranan itu adalah sebagai usaha untuk menghentikan tindakan sesetengah pihak yang sengaja meniupkan api perkauman di kalangan rakyat melalui tafsiran-tafsiran mengenai agama Islam mengikut kefahaman dan kepentingan diri tanpa memikirkan implikasi yang membahayakan, katanya. Mengulas cadangan supaya kerajaan mewujudkan satu kementerian khusus untuk menjaga kepentingan agama Islam yang dikemukakan pada sesi dialog, Najib berkata kerajaan setakat ini tidak bercadang untuk mewujudkan kementerian seumpamanya kerana ia mempunyai implikasi terhadap Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda memandangkan agama terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Lagipun di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), sudah ada Menteri yang menguruskan soal agama Islam. Perdana Menteri juga terlibat dalam soal agama dan beliau boleh mengadap terus kepada Raja-Raja Melayu (sekiranya ada isu berhubung agama Islam). Cara ini lebih berkesan berbanding jika diwujudkan kementerian khusus," katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu turut bersetuju bahawa pemantauan perlu dibuat terhadap individu tertentu yang sering mengutarakan pendapat yang kontroversi, terutamanya yang disiarkan di dalam media massa.

Beliau berkata, ini kerana apabila sesuatu pandangan itu disiarkan oleh media massa, pandangan individu terbabit seolah-olah mendapat pengiktirafan daripada masyarakat dan dibimbangi boleh menimbulkan kecelaruan di kalangan masyarakat sekiranya pandangan itu tidak tepat.

Katanya, pendapat-pendapat yang dikeluarkan dalam hal tertentu itu sewajarnya tidak menjadi panduan ramai, justeru masalah itu perlu ditangani bersama-sama oleh seluruh anggota masyarakat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Ujian HIV: Jalankan kajian sebelum bantah

Artikel Berikut

Artikel Lain