suria

Ujian HIV: Jalankan kajian sebelum bantah

BANGI: Mana-mana pihak yang mempertikaikan keputusan kerajaan mewajibkan pasangan Islam yang ingin berkahwin supaya melakukan ujian saringan HIV dinasihatkan agar menjalankan kajian terlebih dahulu sebelum menyatakan bantahan mereka terhadap keputusan itu.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim,) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, kerajaan telah menjalankan kajian mendalam mengenainya sebelum ia diwajibkan, malah pihak berkuasa agama negeri telahpun melaksanakannya secara berperingkat sejak 2001 sehinggalah orang ramai mulai faham akan tujuan ujian tersebut.

"Kita bukan sengaja nak mencari masalah atau menambah beban kerja kita sendiri. Kita juga perlu memikirkan hak asasi orang yang akan menjadi mangsa akibat daripada tindakan segelintir orang yang menyembunyikan status mereka (yang didapati positif HIV)," katanya mengulas mengenai tindakan beberapa pertubuhan yang mendakwa keputusan kerajaan mewajibkan ujian itu merupakan pencabulan kepada hak asasi manusia, di sini hari ini.

Wan Mohamad berkata, pihak berkuasa agama negeri juga tidak pernah menolak atau menyekat mana-mana permohonan untuk berkahwin bagi calon yang didapati positif HIV, asalkan status mereka diketahui pasangan masing-masing.

Bagi tahun ini, sehingga Jun lalu contohnya, tujuh daripada 46 calon yang didapati positif HIV meneruskan permohonan untuk berkahwin, manakala pada tahun lalu pula 23 daripada 103 calon yang didapati positif HIV melakukan perkara yang sama, setelah mendapat kaunseling dan bimbingan daripada pakar-pakar kesihatan dan pegawai jabatan agama itu sendiri, katanya.

Beliau berkata, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mempunyai cadangan lain yang boleh memberikan impak sama atau lebih baik dalam mengekang penyebaran virus itu, Jakim sedia menerima cadangan tersebut untuk dikaji.

Terdahulu, Wan Mohamad mengumumkan bahawa sambutan Ma'al Hijrah 1430 Hijrah peringkat kebangsaan akan diadakan Isnin depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula pukul 9 pagi, dengan tema "Menjana Ummah Gemilang".

Majlis itu dijangka turut dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya. Forum Ma'al Hijrah, diikuti dengan Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat akan diadakan Ahad ini di Masjid Negara bermula pukul 6.30 petang bersempena sambutan itu, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahar sah sertai PAS

Artikel Berikut

Artikel Lain