suria

Demonstrasi jalanan babit remaja bawah umur wujud generasi memberontak - Musa

KUALA LUMPUR: Tindakan kumpulan yang sering menganjur demonstrasi jalanan, turut membabitkan kumpulan remaja bawah umur, bukan sahaja akan memburukan nama negara di mata dunia, tetapi juga akan mewujudkan generasi yang memberontak, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata tindakan mengeksploitasi serta mempergunakan kumpulan remaja bagi kepentingan sendiri sebenarnya menganiaya dan mendera mental serta fizikal remaja berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya di Komuniti Beruniform Pulapol di sini beliau berkata, tindakan kumpulan yang digelarnya sebagai "demo crazy" itu akan turut mendatangkan bahaya kepada diri mereka sendiri.

Menurutnya kumpulan yang mempunyai rasa tidak berpuas hati mengenai sesuatu perkara perlu menyelesaikan perkara itu secara berbincang, dan bukannya dengan cara berdemonstrasi.

Selasa lepas, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata polis sedang menimbang kemungkinan mengambil tindakan terhadap ibu bapa kepada 28 remaja bawah umur yang memberikan kebenaran kepada anak mereka untuk menyertai kempen berbasikal 'Rakyat Pengayuh Perubahan' anjuran pertubuhan tidak berdaftar Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit).

Musa berkata, dengan sentiasa berdemonstrasi, mereka dengan terang mencabar undang-undang negara dan menunjukkan sikap hipokrit mereka yang kononnya memperjuangkan demokrasi, tetapi mereka sendiri tidak mengikut lunas-lunas demokrasi itu.

"Apabila taksub sangat dengan demonstrasi, ia bukan lagi demonstrasi, tetapi 'demo crazy'. Sepatutnya, kalau ada masalah perlua berbincang, bukan dengan cara ambil jalan begini," katanya.

Ditanya mengenai tindakan Majlis Peguam mempersoalkan tindakan polis menghalang kempen berbasikal anjuran Jerit, Musa berkata sebagai pertubuhan untuk peguam-peguam yang pakar mengenai undang-undang, mereka tidak sepatutnya berat sebelah dalam hal ini.

"Nasihat saya kepada mereka (Majlis Peguam) , kalau hendak menjadi orang politik, terjun sahaja dalam kancah politik, kalau tidak jangan campuri urusan politik," katanya.

Semasa menjawab satu soalan Musa berkata, polis sedang menyiasat sekiranya kumpulan Jerit itu mempunyai kaitan dengan pertubuhan Hindraf yang diharamkan pada bulan Oktober lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain