suria

PM adakan perbincangan dengan Ahmadinejad di Tehran

TEHRAN: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad di Pejabat Presiden di sini Isnin.

Pertemuan itu merupakan antara tumpuan lawatannya selama empat hari ke republik itu.

Pemimpin Malaysia itu, yang ditemani isterinya Datin Seri Jeanne Abdullah, tiba di lapangan terbang Tehran pada Ahad dan disambut Menteri Luar Iran Manouchehr Mottaki.

Berkenaan lawatan rasmi kedua Abdullah ke Iran sebelum peralihan kuasa di Malaysia pada Mac tahun depan, beliau diiringi beberapa menteri, timbalan menteri, anggota Parlimen Malaysia, tokoh korporat dan pegawai tinggi kerajaan.

Mereka turut disertai Duta Malaysia ke Iran, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin.

Abdullah melakukan lawatan rasmi pertama ke Iran sebagai Perdana Menteri pada 2005 tetapi sering melakukan lawatan ke negara berkenaan sebelum itu sebagai Menteri Luar Malaysia dan kemudian Timbalan Perdana Menteri.

Pemerhati berkata, perbincangan Abdullah-Ahmadinejad akan lebih mendorong perkembangan dalam hubungan antara Malaysia dan Iran yang ketika ini sangat mesra, termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan. Kedua-dua pemimpin itu juga dijangka menyaksikan majlis menandantangani beberapa memorandum persefahaman dan perjanjian, seperti dalam hal memerangi pengedaran dadah, kerjasama sains dan teknologi, program pemasangan kereta Gen2 Proton di Iran, selain yang berkaitan sektor minyak dan gas.

Abdullah juga dijadualkan melawat Perbandaran Penyelidikan dan Teknologi pada Isnin.

Pada malam Ahad, Abdullah dan Jeanne telah menghadiri jamuan malam anjuran Syed Munshe di kediaman rasmi duta. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain