suria

Khairy peroleh pencalonan sulung Pemuda Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mendapat pencalonan sulung daripada Pemuda Negeri Sembilan iaitu menerusi Pemuda bahagian Tampin, semalam.

Pemuda Bahagian itu mencalonkan Khairy, yang juga Ahli Parlimen Rembau, untuk jawatan Ketua Pemuda Umno dan Ahli Parlimen Muar Datuk Razali Ibrahim bagi Naib Ketua Pemuda.

Setakat ini enam daripada lapan Pemuda bahagian di Negeri Sembilan telah selesai bermesyuarat.

Dua Pemuda bahagian lagi iaitu Seremban dan Rembau dijangka mengadakan mesyuarat perwakilan masingmasing pada 8 November ini.

Bahagian-bahagian lain iaitu Jelebu, Jempol, Kuala Pilah dan Rasah masing-masing mencalonkan Ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Mahathir sebagai Ketua Pemuda manakala Pemuda bahagian Teluk Kemang pula mencalonkan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Khairy, sehingga semalam memperoleh 50 pencalonan termasuk dari bahagian Tampin dan Kota Baharu, Kelantan.

Sementara itu, Mukhriz yang juga Exco Pemuda Umno masih mendahului jumlah pencalonan bagi jawatan Ketua Pemuda Umno apabila menambah dua lagi pencalonan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan yang diperolehnya setakat ini 68 pencalonan.

Beliau memperoleh pencalonan dari bahagian Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Kota Raja, Selangor.

Bagi Mohd Khir pula, beliau telah mendapat 53 pencalonan setakat malam tadi.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang mendapat satu pencalonan daripada Pemuda bahagian Padang Besar menarik diri pada 23 Oktober lepas.

Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda Umno pula, anggota Parlimen Muar Razali masih mendahului dengan memperoleh 88 pencalonan manakala pesaingnya exco Pemuda Umno Datuk Reezal Merican Naina Merican pula mendapat 70 pencalonan.

Calon lain untuk jawatan Naib Ketua Pemuda Umno ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Kinabalu Bahrul Razha Chuprat (3), manakala Ketua Pemuda bahagian Bagan Marzuki Yahaya, Ketua Pemuda bahagian Subang Megat Firdaus Megat Junid, Khairy dan Ketua Pemuda bahagian Kapar Faizal Abdullah, masing-masing masih dengan satu pencalonan.

Jumlah minimum yang diperlukan untuk layak bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno ialah 39 pencalonan manakala bagi naib pula 20 pencalonan.

Setakat ini, sebanyak 172 daripada 191 pergerakan Pemuda bahagian telah mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing sejak 9 Oktober lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain