suria

Abdul Razak Berpuasa sejak di penjara 22 bulan lalu

PETALING JAYA: Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, Abdul Razak Abdullah Baginda yang bersyukur kerana dibebaskan daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu berkata, beliau "berpuasa sejak 22 bulan" berada di penjara.

Razak yang ditemui di rumahnya di Bukit Damansara dekat sini semalam hanya berkata "alhamdulillah" apabila ditanya mengenai perasaannya setelah dibebaskan beberapa jam sebelum itu.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mengadakan sidang media pada hari ini, beliau hanya berkata, "Lain hari."

Razak yang memakai baju Melayu berwarna ungu dan berkain pelikat turut ditanya makanan pertama yang dimakannya pada hari ini.

"Saya berpuasa tanda syukur," katanya dalam senyuman.

Razak kemudiannya keluar semula bersama anaknya perempuannya, Rowena kira-kira 10 minit kemudian.

Keretanya terus diasak kira-kira 30 wartawan dan jurugambar yang sememangnya sudah berkumpul di hadapan rumahnya sejak pukul 10.45 pagi.

Razak ditanya sejak bila beliau mula berpuasa dan beliau menjawab, "Sejak di penjara 22 bulan lalu."

Beliau turut menasihatkan para wartawan supaya tidak menunggunya kerana akan pulang lewat.

"(Sidang media) bukan hari ni... jangan tunggu, saya lama...," katanya apabila ditanya bila sidang media akan diadakan.

Bagaimanapun, khabar angin yang mengatakan beliau akan membuat sidang media pada pukul 6 petang menyebabkan sekumpulan wartawan dan jurugambar kembali berkumpul di hadapan rumahnya kira-kira pukul 5.40 petang.

Kira-kira pukul 6.15 petang, Razak kelihatan pulang bersama Rowena dengan membawa barangan keperluan harian.

Para wartawan terus meminta pengesahan daripada beliau berhubung sidang media tersebut.

Razak sekali lagi berkata bahawa beliau tidak akan membuat sidang mediapada hari ini.

"Kalau ada pun, saya akan lakukannya minggu depan. Saya akan beritahu media. Tiada apa-apa (sidang media) hari ni," katanya.

Ketika beberapa wartawan menghulurkan tangan untuk bersalaman dengannya, Razak menyambutnya dengan mesra sambil mengucapkan terima kasih.

Apabila salah seorang wartawan mengucapkan selamat hari raya kepadanya, Razak berkata: "Dua (kali) hari raya saya tiada di sini. Dua (kali) hari raya saya di penjara."

Razak yang merupakan tertuduh ketiga dalam kes pembunuhan Altantuya dibebaskan (pagi semalam) setelah Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin mendapati tiada kes prima facie bagi Razak untuk menjawab tuduhan.

Bagaimanapun, dua lagi terduduh iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) diarah supaya membela diri atas tuduhan yang dihadapi.

Mohd Zaki juga mengumumkan 10 November ini sebagai tarikh perbicaraan bela diri bagi kedua-dua tertuduh berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain