suria

Polis kenali suspek terbabit kes tetak tangan pelajar

KOTA BHARU Polis telah mengenal pasti dan sedang memburu seorang penganggur yang dipercayai terbabit dalam kejadian menetak tangan seorang remaja di Wakaf Mek Zainab di sini tiga hari lalu, sehingga putus.

Polis mengenal pasti lelaki berumur 21 tahun itu sebagai Mohd Zaidi Che Muda.

"Polis sedang mencari suspek ini untuk membantu siasatan kes serangan tersebut. Alamat terakhir suspek ialah Kampung Tanjong Chat, Kota Bharu.

"Justeru kita meminta supaya suspek tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi polis dengan segera," kata Ketua Polis Daerah Kota Baharu, ACP Zahruddin Abdullah kepada pemberita hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai motif suspek menetak mangsa.

Pada tengah malam Isnin lalu, Ahmad Mustakim Ariff Jusoh @ Alwi, 17, dilaporkan ditetak oleh dua kenalannya yang juga merupakan sahabat baiknya dari belakang dengan menggunakan senjata tajam, sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanan pelajar tersebut putus serta anggota badannya cedera parah.

Dia dapat menyelamatkan diri dan pulang ke rumah sambil membawa tangannya yang terputus, di dalam bakul motosikal yang ditunggangnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain