suria

Rasuah Bekas dekan UiTM dipenjara tiga tahun denda RM10000

SHAH ALAM: Bekas dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Md Saberi Md Salleh hari ini dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah didapati bersalah memperakui dokumen pengakuan penerimaan palsu berhubung pembekalan peralatan sukan berharga RM138,600, sedangkan peralatan itu tidak dibekalkan.

Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof turut menjatuhkan hukuman yang sama ke atas pemilik syarikat pembekal peralatan sukan, Zaleha Abd Rahman kerana bersubahat melakukan perbuatan itu dengan menandatangani dokumen terbabit. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di fakulti tersebut di UiTM Shah Alam, antara 24 Mac hingga 2 Apr 1999 dan dihukum di bawah Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menaikkan jumlah jaminan terhadap kedua-dua tertuduh iaitu Md Saberi berjumlah RM17,000 dan Zaleha berjumlah RM15,000.

Hakim Zabariah bagaimanapun memerintahkan Md Saberi dan Zaleha membayar denda yang telah ditetapkan pada hari ini. Mereka membayar denda itu.

Terdahulu, dalam penghakimannya Zabariah berkata dalam menjatuhkan hukuman terhadap keduadua tertuduh, mahkamah mengambil kira faktor sumbangan yang telah dilakukan oleh Md Saberi terhadap UiTM dan negara sementara bagi Zaleha, mahkamah mengambil kira faktor bahawa tertuduh merupakan pesalah pertama serta mempunyai masalah kesihatan.

"Bagaimanapun, mahkamah berpendapat kepentingan awam mengatasi kepentingan keduadua tertuduh dengan mengambil kira bahawa kesalahan yang dilakukan turut membabitkan dana awam serta menjejaskan kredibiliti institusi pengajian tinggi awam. "Hukuman yang deterren perlu dijatuhkan," katanya.

Terdahulu dalam rayuannya, peguam Mohd Ismail Mohamad yang mewakili Md Saberi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum ke atas anak guamnya dengan alasan Md Saberi berperwatakan yang baik dan merupakan seorang tokoh terkenal dalam sukan Taekwando serta bekas pengerusi Persatuan Taekwando Malaysia.

Mohd Ismail berkata anak guamnya juga merupakan pengasas kepada Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM.

Peguam Salim Bashir yang mewakili Zaleha juga memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atas anak guamnya dengan alasan Zaleha menghidap penyakit kencing manis yang kronik dan jika dipenjarakan, ia akan menyukarkan keadaan di mana perniagaan yang dijalankan terpaksa ditutup kerana anak guamnya adalah pemilik tunggal kepada syarikatnya.

Timbalan Pendakwa Raya dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) Mohd Josiendra Abu Senin (ulang: Josiendra) pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas keduadua tertuduh selari dengan hasrat dan misi kerajaan untuk membasmi rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan lebih-lebih lagi ia turut melibatkan dana awam.

Sepanjang perbicaraan, seramai 14 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan termasuk bekas Naib Canselor UiTM Datuk Ahmad Zaidee Laidin manakala pihak pembelaan mengemukakan dua orang saksi iaitu kedua-dua tertuduh sendiri. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain