suria

Suspek keempat kes pembunuhan pelajar UMS dipercayai lari ke negara jiran

KOTA KINABALU: Lelaki keempat yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan pembunuhan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sherliana Gediun, dipercayai telah melarikan diri ke negara jiran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah SAC II Zainal Abidin Kasim berkata mereka bekerjasama dengan polis dari negara jiran untuk menjejaki suspek, tetapi enggan menamakan negara berkenaan.

"Kami boleh katakan dia adalah suspek utama ketika ini... tetapi ini berdasarkan kepada apa yang dikatakan oleh suspek lain, jadi kita tengoklah nanti (setelah dia ditangkap)," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau menjangka siasatan akan terjejas sekiranya suspek keempat benarbenar berada di luar negara, Zainal berkata polis percaya dia akan pulang ke tanah air memandangkan semua anggota keluarganya berada di sini dan polis sendiri meningkatkan penyiasatan kes itu. Sherliana, 22, pelajar tahun akhir UMS, meninggalkan rumahnya di utara daerah Kota Marudu pada 22 Ogos dengan menaiki sebuah teksi sapu namun tidak kelihatan di kampus universiti itu.

Keluarga pelajar itu hanya menyedari kehilangannya pada 24 Ogos, manakala mayatnya yang sudah reput dijumpai pada 28 Ogos selepas dibuang di Tuaran.

Tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 20an ditahan awal bulan ini. Polis sedang mencari Hassian@ Haslan Bajil, 29, bagi membantu siasatan kes itu.

Dalam perkembangan lain, Zainal menggesa 32 pelatih yang gagal melaporkan diri bagi menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tahun ini supaya pergi ke balai polis berhampiran untuk memberi kenyataan.

Beliau berkata 32 pelatih terbabit iaitu masing-masing dari Labuan, Keningau, Beaufort, Kota Kinabalu, Tenom, Tawau dan Sandakan, boleh didakwa mengikut Akta Latihan Khidmat Negara jika gagal memberi alasan kerana tidak melapor diri selepas menerima notis untuk menyertai PLKN.

"Kami hanya mahu mendapatkan kenyataan mereka. Polis menggunakan pendekatan mesra rakyat dan kami tidak mahu bertindak sehingga terpaksa pergi ke rumah mereka," katanya, sambil menambah polis akan menyiarkan nama pelatih terbabit dalam akhbar sekiranya mereka gagal tampil. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain