suria

Polis buruk ketua Geng Tomei

KUALA LUMPUR: Polis sedang giat memburu ketua Geng Tomei yang kumpulannya melakukan beberapa siri rompakan ke atas kedai emas Tomei di sekitar Lembah Klang, setelah tertangkapnya empat anggota kumpulan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC II Ku Chin Wah berkata Ngai Chan Hong @ Ah Seow/ Ah Soh/ Man (orang yang sama), 29, yang beralamat terakhir di Jalan Imbi di sini merupakan penjenayah yang amat merbahaya dan memiliki senjata api.

"Suspek diburu ekoran daripada soal siasat kita ke atas empat orang anggota kumpulan tersebut yang berumur antara 26 dan 39 tahun yang ditahan pada 18 Ogos hingga 4 Sept lepas di sekitar Klang dan Jalan Ipoh," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Ku berkata, polis percaya suspek turut terlibat dalam kes pembunuhan seorang anggota kumpulan itu pada 6 Ogos lepas yang diklasifikasikan polis sebelum ini sebagai bunuh diri.

"Hasil siasatan kita mendapati, mangsa merupakan salah seorang anggota kumpulan ini dan merupakan orang yang ditugaskan membuat tinjauan ke atas kedaikedai emas dan juga perancang kumpulan ini.

"Ini kerana siasatan yang kita lakukan ke atas isteri mangsa yang mengenali Ngai," katanya.

Pada 6 Ogos lalu, mangsa yang dikenali sebagai Bee Lee ditemui mati ditembak di Taman Sungai Besi di sini. Namun, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh diri sehingga siasatan selesai.

Beliau berkata dengan tertangkapnya empat lelaki ini, pihaknya berjaya menyelesaikan tiga kes samun bersenjata iaitu dua di ibu negara dan satu di Selangor.

Polis turut merampas peluru dari jenis .38, .65 dan 9mm serta sepucuk pistol jenis .38 yang dipercayai digunakan semasa rompakan.

"Setelah selesai melakukan rompakan, anggota kumpulan ini akan menyerahkan hasil rompakan kepada ketua kumpulan yang menunggu di rumah dan mereka ini akan dibayar sekitar RM20,000 hingga RM30,000 seorang," katanya.

Ku berkata, kesemua suspek rakyat tempatan itu ditahan reman sehingga 30 Sept ini.

Dalam kejadian rompakan pada 20 Julai lalu di sebuah kedai emas Tomei di tingkat satu pasaraya Carrefour, Wangsa Maju, seorang pekerja wanita berumur 32 tahun ditembak mati oleh anggota kumpulan terbabit yang terdiri daripada tiga lelaki bersenjatakan dua pucuk pistol dan melarikan barang kemas bernilai RM500,000.

Pada 20 Jun lepas, sebuah kedai emas M J Jewellery di sebuah pasar raya Econsave di Alam Damai, Cheras dirompak kumpulan yang sama oleh dua lelaki bersenjatakan dua pucuk pistol dan melarikan barang kemas bernilai RM400,000.

Selain itu, kumpulan tersebut juga pernah terlibat dalam rompakan sebuah kedai emas di dalam pasaraya Econsave di Kota Kemuning pada 13 Mei lalu oleh dua lelaki yang bersenjatakan dua pucuk pistol serta melarikan barang kemas bernilai lebih RM200,000. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain