suria

Keputusan bedah siasat dapati punca kematian murid darjah 4 akibat tekanan pada leher

Alzafny menyatakan siasatan perlu dilakukan dengan hati-hati kerana terdapat saksi kanak-kanak.

LAPORAN bedah siasat yang dijalankan ke atas jenazah murid darjah empat mendedahkan kematian berpunca daripada kesan tekanan pada leher.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad menyatakan, selain kesan tersebut, tiada sebarang kecederaan lain ditemui pada tubuh murid berkenaan.

"Hasil bedah siasat mendapati murid itu meninggal dunia akibat tekanan pada leher.

"Tiada kecederaan lain pada badan mangsa," katanya dalam kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN: Murid darjah 4 maut dalam tandas sekolah, polis siasat kemungkinan kes buli

Tambah beliau, 27 individu telah diambil keterangan dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan termasuk mengenal pasti insiden yang berlaku sebelum kejadian sehingga arwah ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas.

Dalam pada itu, Alzafny berkata, pasukannya perlu mengendalikan kes ini dengan berhati-hati kerana beberapa saksi adalah kanak-kanak yang dilindungi di bawah peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.

"Kes ini masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat dakwaan tidak berasas yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.

Terdahulu, Alzafny berkata kematian murid itu disiasat di bawah undang-undang anti-buli mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan.

Seksyen 507C menjenayahkan penggunaan perkataan atau tindakan yang mengancam, kesat atau menghina yang berkemungkinan menyebabkan gangguan, kesusahan, ketakutan atau kecemasan kepada orang lain, walaupun bahaya tidak dimaksudkan oleh pelaku.

Untuk rekod, Allahyarham ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah di Senawang pada petang Rabu.

Guru disiplin sekolah itu kemudiannya membawanya ke kemudahan kesihatan swasta namun dia disahkan meninggal dunia. -The Star

Artikel Lain