HARI Guru yang meraikan warga pendidik pada 16 Mei setiap tahun menyaksikan murid-murid sangat teruja untuk menyambutnya.
Mereka sudah tentu membuat persiapan awal dan enggan ketinggalan untuk turut serta meraikan hari istimewa itu bersama para pendidik kesayangan di sekolah.
Bagai sudah jadi tradisi saban tahun, murid-murid pasti mahu memberikan hadiah sebagai tanda penghargaan kepada guru-guru masing-masing yang mana pada tahun ini Hari Guru jatuh pada hari Jumaat.

Jamuan di sekolah antara acara yang dinanti-nantikan murid-murid. -Gambar hiasan
Bagi memenuhi kehendak anak, golongan ibu bapa akan turut serta dengan membantu menyediakan hadiah buat guru-guru anak mereka seawal mungkin.
Namun seorang ibu terkilan apabila pesanan barang untuk dijadikan hadiah buat guru anaknya tidak sampai seperti yang dirancang.
"Beli hadiah hari guru di TikTok. Dah gembira dah hari ni barang keluar untuk penghantaran.
"Eh tiba-tiba mamat delivery silap hantar ke rumah lain pula," luahnya menerusi satu hantaran di laman sosial, pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiba-tiba ada ‘cuti peristiwa’, cikgu tegur ibu bapa pontengkan anak pada Hari Guru… Kecewa isu tak mampu bagi hadiah jadi alasan
ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu suruh murid bawa lemang dan sate, siap bagi ‘contact’ penjual... Ibu pelik anjur jamuan raya sekolah ikut ‘tekak’ siapa?
Bagaimanapun, apa yang berlaku seterusnya amat membuatkan dirinya kecewa.
"Dah cakap kat dia (penghantar barang), dia pergi semula ke rumah tu, orang tu dah ambil barang saya.
"Dia panggil pun tak ada siapa yang keluar," ujarnya yang tidak mendedahkan barang yang dibeli untuk dijadikan hadiah.
Dalam kesuntukan masa untuk membeli hadiah lain, dia meluahkan rasa kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab kerana mengambil barang bukan miliknya.
"Kau dah kenapa sesuka hati ambil barang orang? Dah tu esok (Jumaat) nak bagi apa ni?" luahnya.

Setiap yang dugaan dan ujian yang berlaku ada hikmahnya. -Gambar hiasan
Bagaimanapun selepas dua jam, wanita berkenaan tampil memaklumkan mengenai status dan perkembangan terkini penghantaran barangnya.
Dia memaklumkan penyedia khidmat penghantaran ada menghubunginya selepas dia membuat aduan di platform TikTok.
"Saya mengadu di TikTok, kemudian selepas dua jam pihak tersebut terus WhatsApp saya. Jadi, kita tunggu esok," jelasnya.
Wanita itu turut berkongsi tangkap layar mesej tersebut: "Saya dah hubungi tuan rumah. Maaf sangat-sangat, dia tak ada di rumah, sekarang di Kuala Lumpur. Pukul 10 pagi esok (Jumaat) baru dia dapat letak semula parcel tu di luar, maaf ya puan."
"Saya cakap esok pun tak apa. Petang masa balik pun boleh bagi kan. Tapi saya tetap sediakan sesuatu juga, sebab tak nak anak sedih kalau tak bawa apa-apa.
"Apa pun pihak berkenaan berkali-kali minta maaf. Dari marah pun boleh sejuk hati kita," katanya lagi dalam hantaran sama.


