suria

Sarawak Berazam "Sifar" Setinggan Melalu Tiga Strategi Perumahan

(Sempena Hari Terbuka NKRA peringkat negeri Sarawak)

KERAJAAN negeri melalui Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar mahu menjadikan negeri ini sebagai negeri "sifar" setinggan melalui tiga pendekatan program pembangunan perumahan sejajar dengan teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.

Menteri berkenaan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata terdapat kira-kira 10,000 penempatan setinggan di seluruh Sarawak yang kebanyakannya di kawasan bandar utama seperti Miri (kira-kira 4,000), Bintulu (3,000), Kuching (1,800) dan Sibu.

"Kita mahu jadikan negeri ini sifar setinggan melalui tiga pendekatan projek perumahan," katanya dalam temuramah eksklusif dengan Bernama di sini.

RUMAH KEKALKAN TRADISI KAMPUNG

Beliau berkata pendekatan pertama ialah melalui program Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang mengutamakan kepada usaha untuk menyusun atur semula kampung-kampung tradisi tanpa menjejaskan budaya kehidupan kampung.

Melalui program RMR, masyarakat kampung terutama yang berpendapatan rendah berpeluang memiliki rumah yang lebih baik serta dapat tinggal dalam persekitaran yang mempunyai frasarana yang lengkap.

Menurut beliau kementerian melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) juga memberi jaminan RMR akan memastikan konsep hidup ataupun budaya kampung akan dikekalkan kerana perpaduan merupakan asas kepada kesejahteraan hidup masyarakat negeri ini.

"Dalam program RMR kita mahu wujudkan persekitaran hidup kampung tradisi yang lebih mesra melalui pendekatan pembesaran kampung yang lebih terancang tanpa merosakkan budaya masyarakat di kawasan terbabit," katanya.

Di bawah program RMR, tumpuan utama ialah kawasan bandar dengan membaik pulih kampung-kampung sedia ada secara membesarkan lagi kawasan kampung yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

Jelas beliau setakat ini program RMR mendapat sambutan yang baik di kalangan penduduk di samping banyak membantu golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah yang lebih baik.

RUMAH REKA BENTUK BARU

Abang Johari berkata kementerian melalui HDC turut merancang untuk meningkatkan lagi jumlah rumah mampu milik di negeri ini selain menampilkan reka bentuk rumah yang lebih menarik, luas dan mesra pengguna pada kadar harga berpatutan.

Konsep rumah mampu milik yang sedia ada perlu diubah agar pembeli dapat tinggal dalam rumah selesa tanpa perlu membuat pengubahsuaian yang akan menelan kos yang tinggi pada masa akan datang.

"Kita tidak mahu lagi projek perumahan mampu milik yang nampak berbaris-baris panjang serta sempit dengan reka bentuk yang kurang menarik," katanya.

Tumpuan HDC ialah kepada projek rumah mampu milik setingkat dan dua tingkat yang turut mempunyai kelengkapan frasarana yang lengkap serta mempunyai lebih banyak persekitaran hijau di sekeliling kawasan rumah.

Penekanan juga kepada kemudahan seperti tempat riadah serta ruang untuk mengadakan majlis seperti kenduri ataupun aktiviti penduduk setempat. Ketika ini HDC mengenal pasti beberapa reka bentuk rumah yang sesuai dengan harga rumah mampu milik dan berharap ia dapat dilaksana dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

RUMAH PANGSA UNTUK BANDAR UTAMA

Kerajaan turut memberi perhatian kepada projek pembangunan rumah pangsa yang boleh mengatasi masalah kekurangan rumah di kawasan berpenduduk padat seperti kawasan bandar utama di negeri ini.

Abang Johari berkata HDC dan beberapa syarikat swasta telahpun membangunkan beberapa projek rumah pangsa yang semakin mendapat sambutan baik penduduk negeri ini khasnya di kawasan bandar.

"Tumpuan utama projek rumah pangsa ialah untuk mereka yang berpendapatan bawah RM1,500 iaitu melalui konsep sewa sebelum mereka mampu memiliki rumah sendiri," katanya.

Penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar mendorong kepada permintaan yang tinggi bagi rumah di bandar-bandar utama seperti Kuching.

"Kebanyakan penduduk terbabit tidak mempunyai saudara-mara di bandar dan tidak mempunyai pekerjaan tetap yang menyukarkan lagi mereka untuk membuat pinjaman perumahan.

"Saya yakin dengan adanya konsep sewa untuk rumah pangsa ini, mereka yang bergaji rendah dan tidak bekerja tetap berpeluang mempunyai tempat tinggal yang lebih baik," katanya.

SASARAN 50 RIBU UNIT RUMAH DALAM RMK-10

Sarawak menyasar untuk membina 50,000 unit lagi rumah di seluruh negeri ini termasuk 20,000 yang akan dibangunkan oleh pihak kerajaan.

Abang Johari berkata kerajaan juga menetapkan syarat kepada pemaju perumahan yang ingin membangunkan projek perumahan di kawasan lebih 4.4 hektar (10 ekar) perlu menyediakan 30 peratus untuk projek rumah mampu milik.

Dalam pada itu, Sarawak meletakkan harapan tinggi agar kerajaan pusat menyediakan peruntukan yang secukupnya untuk pembinaan lebih banyak rumah bagi kumpulan berpendapatan rendah di negeri ini dalam RMK-10.

SISTEM PENGANGKUTAN AWAM AKAN DIROMBAK

Abang Johari juga berkata sistem pengangkutan awam terutama di kawasan bandar utama di negeri ini akan dirombak semula untuk memastikan mutu perkhidmatan dapat ditingkatkan. "Kami bukan sahaja mahu menyediakan pengangkutan awam yang baru malah sistem pengurusan perjalanan pengangkutan awam yang lebih bersepadu dan praktikal dengan mengguna teknologi seperti GPS (Sistem Penentu Posisi Global)," katanya.

Sebagai permulaan kerajaan berusaha menaik taraf kemudahan frasarana pengangkutan awam di Kuching dengan pembinaan Kuching Central di Batu 6 Jalan Kuching-Serian yang dijangka siap tidak lama lagi.

Selain pembinaan Kuching Central, beberapa lagi hub mini untuk pengangkutan awam akan dibina di beberapa kawasan strategik di bandar raya Kuching.

Ketika ini orang ramai kurang menggunakan perkhidmatan awam kerana beberapa faktor seperti masa perkhidmatan yang tidak konsisten dan bas yang uzur, katanya.

"Saya yakin selepas ini orang ramai akan kembali menggunakan bas, bukan sahaja golongan berpendapatan rendah malah kumpulan berpendapatan sederhana dan para eksekutif.

"Kami ada pendekatan baru yang mungkin tidak pernah diperkenal di bandar lain di negara ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain