suria

Kemelesetan Ekonomi Dunia Tiada Kesan Terhadap Penggunaan Susu

KEMELESETAN ekonomi yang melanda dunia pada tahun 2009 tidak meninggalkan kesan terhadap penggunaan susu, demikian menurut unit penyelidikan dalaman syarikat Tetra Pak.

Menurut Indeks Susu Tetra Pak, iaitu laporan dua kali setahun syarikat tersebut, penggunaan susu dijangka berkembang dengan kadar tahunan keseluruhan (CAGR) 2.2 peratus dari tahun 2009. Trend ini dijangka berterusan bagi tiga tahun berikutnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tetra Pak, Dennis Jonsson, berkata sebahagian besar daripada perkembangan ini berlaku susulan daripada munculnya pasaran baru seperti India, China dan Asia Barat.

Dalam situasi ekonomi dunia sekarang yang agak malap, pengeluar susu di pasaran yang sedang membangun masih boleh bergantung kepada pertumbuhan penduduk, peningkatan pendapatan serta pertambahan pengambilan produk susu cair dalam diet di kalangan masyarakat.

"Walaupun kemelesetan ekonomi telah mempengaruhi banyak sektor, ia tidak menjejaskan penggunaan bahan susu dan cecair susu. Susu adalah makanan ruji yang sihat, berkhasiat dan mampu diperoleh dan diminum oleh 44 peratus daripada penduduk dunia setiap hari.

"Sesetengah konsumer dilihat telah 'berubah' kepada barangan yang lebih murah namun pasaran susu tetap stabil", kata beliau dalam satu wawancara menerusi telefon di sini baru-baru ini.

PENGGUNAAN SUSU DI MALAYSIA

Sementara itu, penggunaan susu di Malaysia dijangka meningkat kepada tiga peratus CAGR sehingga tahun 2012.

Di Malaysia, industri susu adalah hampir 24 peratus dari jumlah minuman yang dijual dan diguna oleh masyarakat. Semenjak tahun 2005 to 2009, CAGR pasaran susu telah berkembang dengan mantap pada kadar dua peratus.

"Selari dengan trend global, di Malaysia kita tidak nampak penurunan ketara dalam penggunaan susu disebabkan kemelesetan ekonomi. Kami percaya ini disebabkan minuman itu adalah penting dalam diet," menurut Pengurus Pemasaran Bahagian Pengurusan Pasaran dan Produk Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd, Noer Wellington.

Beliau berkata tahun lepas menyaksikan kenaikan 10 peratus dalam penghantaran produk pek keluarga syarikat tersebut iaitu karton satu liter bila pelanggan yang mahu penjimatan mula berubah kepada pek nilai ini.

Menurut Wellington, susu putih serta yang berperisa masih lagi bahagian yang penting dalam pasaran Malaysia dengan pegangan 60 peratus dan berdasarkan petunjuk bagi beberapa kategori, produk ini dijangka mengekalkan kedudukannya.

Kategori lain minuman susu ialah produk asid laktik (seperti dadih), susu pekat dipermaniskan dan susu isian sejat serta susu untuk membesar.

SEDIA UNTUK DIMINUM

Sementara itu, susu yang sedia diminum (SDM) seperti dari jenis 'ambient' (tahan lama) dan disejukkan telah dikenalpasti sebagai produk yang mempunyai peluang besar untuk dipertingkatkan. Dari tahun 2005 hingga 2009, susu jenis ini telah mengalami kadar pertumbuhan sebanyak lapan peratus dan ia dijangka meningkat kepada sembilan peratus antara tahun 2009 dan 2012.

Ini susulan pengeluar susu telah mengenalpasti peluang untuk membentuk segmen-segmen pasaran baru bagi kedua-dua susu SDM ambient dan disejukkan.

Mereka juga sedang mencari ruang bagi mengubah pengguna mingguan kepada pengguna harian produk tersebut.

Kata Wellington lagi, kebanyakan daripada peminum susu di Malaysia kini terdiri daripada golongan anak kecil dan generasi lebih tua. Kumpulan terbesar pengguna, berumur antara 25 dan 40 tahun tidak gemar minum susu.

Menurut kajian Indeks Susu Tetra Pak, pelanggan masih menggemari pek jenis karton bagi susu SDM.

Kajian tentang tabiat pengguna menunjukkan SDM dapat menyesuaikan dengan gaya hidup para pengguna. Oleh itu pengeluar susu sedang berusaha untuk 'memikat' pasaran keluarga ini.

SUSU TAHAN LAMA

Satu penemuan penting dalam laporan Indeks Susu ialah kedua-dua pasaran membangun dan maju di dunia akan terus menyaksikan penggunaan produk susu.

Dalam pasaran maju, menurut keluaran kini Indeks Susu Tetra Pek, penggunaan susu tahan lama dijangka mencapai 0.7 peratus daripada CAGR pada tahun 2009-2012.

Terdapat empat faktor yang mendorong pertumbuhan ini - satu trend terhadap kesihatan dan kebaikan; gaya hidup yang sibuk, yang memilih kepada penyelesaian masalah dengan cepat dan mudah; keinginan keseronokan hidup bersama kemewahan kecilan serta trend terhadap penjimatan.

Walaupun susu putih masih merupakan segmen terbesar dalam pasaran maju dengan pegangan saham 76 peratus, para pengeluar turut mengambil kira susu berperisa dan susu soya sebagai peluang untuk membesarkan pasaran.

Susu adalah perniagaan teras bagi Tetra Pak Group, menjangkau 66 peratus daripada semua produk. Di Malaysia, ia merupakan penyumbang terbesar kepada perusahaan pembungkusan karton oleh syarikat.

Sehingga Oktober 2009, perniagaan susu Tetra Pak Malaysia tumbuh sebanyak lima peratus, susu soya 11 peratus, jus serta madu 10 peratus dan tiada pertumbuhan dicatatkan bagi kategori minuman bukan karbonat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain