suria

STF Serampang Tiga Mata Atasi Kemiskinan Di Sarawak

PROGRAM pembasmian kemiskinan tiga dalam satu atau lebih dikenali sebagai Sejahtera Task Force (STF) adalah bukti keazaman kerajaan untuk membawa kumpulan masyarakat hidup daif dan melarat di Sarawak keluar dari kepompong kemiskinan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Sumber Manusia dan Latihan) Datin Fatimah Abdullah berkata STF meliputi tiga fungsi utama iaitu membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan isi rumah, mengatasi masalah kekurangan zat makanan dan meningkatkan status pendidikan anak-anak kumpulan sasaran.

Kumpulan sasaran STF adalah kumpulan isi rumah yang miskin tegar dan mempunyai anak berumur kurang tujuh tahun selain tidak pernah berdaftar dengan sistem E-Kasih.

Fatimah berkata sejajar dengan enam teras Nilai Keberhasilan Utama Negeri (NKRA) untuk membasmi kemiskinan, STF dilihat sebagai asas yang baik untuk membantu kumpulan yang miskin tegar, miskin dan mudah miskin.

Enam teras tersebut ialah mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

"Projek STF diperkenalkan pada tahun 2005 dan projek perintis dimulakan di Kampung Penipah, Pulau Beruit melibatkan 20 isi rumah dengan 22 kanak-kanak yang kekurangan zat makanan," katanya kepada Bernama di Kuching kelmarin.

Tiga komponen STF iaitu projek ekonomi (penjanaan pendapatan keluarga), aktiviti pendidikan (program keibubapaan dan motivasi pelajar) dan program makanan seimbang.

"STF dilaksanakan dalam tempoh setahun (12 bulan) di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk setiap peserta dan tahun berikutnya ia akan dilaksanakan di kampung atau rumah panjang yang lain," katanya.

STF DIKEMBANGKAN

Sejak diperkenalkan buat pertama kali di Pulau Beruit di bawah Fasa I program STF yang kini akan masuk Fasa IV, mempunyai 307 peserta dan 201 lagi untuk kes kanak-kanak yang kekurangan zat makanan.

Fasa II melibatkan kawasan Kampung Sungai Kut Dalat, Kampung Penibong Pulau Bruit Daro dan Kampung Penuai Pulau Bruit Daro, Fasa III Kampung Litong Mukah, Kampung Senau Oya, Kampung Tian Matu, Kampung Bandong Daro dan Kampung Bruit Pulau Bruit Daro.

Manakala untuk Fasa IV melibatkan Kampung Teh Mukah, Kampung Penat Oya, Kampung Kuala Matu Daro, Kampung Nangar Daro dan Kampung Sebako Pulau Bruit, katanya.

Di bawah RMK-9 program STF mendapat peruntukan berjumlah RM22.66 juta yang diluluskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dengan RM$1.41 juta diperuntukkan pada tahun 2008.

Peruntukan tersebut adalah untuk program STF Fasa I, II dan III manakala untuk Fasa IV masih lagi menunggu peruntukan daripada kerajaan pusat.

"Selebihnya peruntukan STF berjumlah RM1.25 juta adalah diharap dapat disegerakan kelulusan bagi program Fasa IV," katanya.

Agensi lain yang terlibat dalam program STF ialah Kementerian Pemodanan Pertanian Sarawak, Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan dan Jabatan Pelajaran.

PENCAPAIAN STF DI SARAWAK

Fatimah berkata sehingga pertengahan tahun lepas sebanyak 112 buah isi rumah dapat dibantu di bawah program STF dengan pencapaian yang memberansangkan. Sebanyak 57 buah isi rumah memperoleh pendapatan bersih sebulan antara RM505 dan RM806, 17 isi rumah (RM807 hingga RM1,000), 23 isi rumah (RM1,001 hingga RM1,500), 11 isi rumah (RM1,501 hingga RM2,000) dan empat isi rumah (lebih RM2,000).

Katanya RM504 sebulan merupakan pendapatan garis kemiskinan tegar luar bandar Sarawak. Dari segi kesihatan, daripada 69 kanak-kanak daripada 201 jumlah asal yang mengalami masalah kekurangan zat makanan telah berjaya dipulihkan selepas perlaksanaan program ini.

Dalam pendidikan, tiada kes keciciran pelajar dilaporkan sepanjang tahun 2008 bagi semua kanak-kanak peserta di bawah program STF.

Jelasnya dua pelajar di bawah program STF berjaya memperoleh keputusan cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan mendapat 5A pada tahun 2008, tiga mendapat 4A, 1B manakala seorang mendapat 3A,2B.

Bagi keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) empat daripada enam anak peserta lulus peperiksaan tersebut manakala untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seorang anak peserta STF memperoleh keputusan yang memberansangkan iaitu 7A.

Fatimah berkata untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030 Sarawak tidak pernah lupa peranannya untuk memastikan kadar kemiskinan tegar di negeri ini dengan memberi tumpuan kepada pembangunan sosial dan tidak hanya kepada aspek fizikal dan prasarana.

"Untuk membangunkan negeri Sarawak kerajaan memerlukan belanja yang besar dan dasar yang pragmatik disebabkan keluasan saiznya, keadaan geografi yang dialiri oleh ratusan sungai serta taburan penduduk yang tidak sekata," katanya.

Fatimah berkata STF dijangka mampu membantu mengurangkan kadar kemiskinan negara daripada 3.8 peratus pada tahun 2008 kepada 2.8 peratus tahun ini seperti mana yang ditetapkan dalam Indeks Prestasi Utama (KPI) di bawah enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). - BERNAMA

Artikel Lain