suria

Hijrah Membangun Minda

BAHAGIAN PERTAMA

HIJRAH atau perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawwarah ialah satu peristiwa besar bagi umat Islam.

Ia bukan sahaja melakar banyak kepentingan dalam sirah yakni perjalanan sejarah hidup Rasulullah SAW khasnya untuk mengembangkan syiar agama Islam tetapi juga dalam tamaddun Islam amnya. Hebatnya hijrah Rasulullah SAW membuatkan peristiwa besar itu kemudian dijadikan sebagai asas permulaan dalam takwim Islam (1 Muharram) sewaktu pemerintahan Saidina Umar r.a.

Dalam konteks kehidupan hari ini, apabila umat Islam memperkata mahu 'berhijrah', ia lebih menjurus kepada usaha untuk memperoleh kebaikan dalam kehidupan.

Berbanding dengan amalan lazim menjadikan tahun baru Masehi sebagai detik permulaan membuat azam baru, semakin ramai umat Islam akhir-akhir ini menjadikan hijrah Rasul dan 1 Muharram sebagai titik permulaan untuk membuka lembaran diari baru kehidupan mereka.

PERLU PERSIAPAN

Bagaimanapun, untuk mendapatkan kesan serta manfaat daripada semangat hijrah Rasul itu, ia perlu diiringi dengan niat dan jihad atau usaha untuk menegakkan agama Islam.

Seperti yang ditekankan Ir Ahmad Jais Alias, Pengarah Radio IKIM.fm, peristiwa hijrah Rasul itu sendiri mengajar, jika umat Islam mahu menegakkan agama Allah SWT atau menegakkan apa jua perjuangan, ia memerlukan beberapa elemen tertentu.

"Ia mencakupi persiapan minda, persiapan spiritual atau kerohanian, persiapan fizikal serta persiapan strategi dan organisasi.

"Lantas jika kita melihat mengapa umat Islam ditindas, sebagai contoh, mungkin ada elemen yang tidak sempurna, mungkin ada kelemahan organisasi, fizikal yang merangkumi kekuatan harta benda dan juga kelemahan pengetahuan atau kepakaran," kata beliau dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini. Dalam menyentuh soal kekuatan dalaman atau kerohanian, beliau mengaitkannya kepada kekuatan akhlak dan adab.

"Tamaddun atau peradaban Islam dibina atas asas peradaban dan akhlak dan runtuhnya tamaddun itu bila mana umat Islam lemah akhlak dan adab.

"Kita boleh membina bangunan yang tinggi-tinggi tetapi jika akhlak dan adabnya lemah, ia akan menjadi seperti apa yang disebut bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, kemudahan kelas pertama, mentaliti dunia ketiga," tambahnya.

CABARAN PEMIKIRAN

Ir Ahmad Jais juga berpendapat umat Islam khususnya di negara ini turut berdepan dengan pelbagai cabaran pemikiran yang cukup hebat.

Ia termasuk dari segi pemikiran Islam itu sendiri yang mempunyai pelbagai pandangan dan mazhab.

Umat Islam turut terdedah kepada pelbagai pengaruh luar, falsafah barat, pengaruh materialisme, pengaruh kemodenan yang menolak ketuhanan serta fahaman yang menyesatkan.

Ia juga termasuk fahaman mistik yang dilihat sebagai semakin meningkat termasuk dalam bentuk cerita yang disiarkan di televisyen serta sikap segelintir masyarakat Islam di negara ini yang masih berjumpa bomoh atau pawang atas pelbagai alasan.

"Itu belum lagi mengambil kira generasi muda Islam yang semakin diasak dengan ledakan maklumat di dalam internet.

"Kadang-kadang mereka ini tidak tahu bagaimana hendak menilai, yang mana satu betul dan yang mana salah," tambah beliau.

AKHLAK MULIA

Golongan muda termasuk remaja hari ini sinonim dengan pelbagai masalah sosial termasuk merempit, menagih najis dadah dan melakukan seks bebas.

Ir Ahmad Jais melihat kecelaruan itu berlaku kerana golongan itu tidak mempunyai contoh akhlak yang mulia.

"Di dalam Quran ada disebut pembentukan akhlak itu memang memerlukan contoh teladan atau 'role model' yang baik.

"Para sahabat ketika zaman Nabi Muhammad SAW, terdidik dengan akhlak Nabi kerana baginda memiliki akhlak yang paling mulia.

Ini termasuk cara Nabi bertutur, cara Nabi memaafkan orang, cara Nabi menyampaikan kebenaran.

KEHILANGAN CONTOH

Adakah generasi muda dan remaja kini kehilangan contoh teladan?

Mungkin ada pihak yang bingkas bangkit menyangkal tetapi meskipun pahit, bagi Ir Ahmad Jais, ini hakikat yang bukan sahaja terpaksa ditelan tetapi perlu dibincang dan dicari penyelesaian!

"Sebagai contoh, nak ikut cikgu, cikgu pun merokok, nak ikut doktor, doktor pun mempunyai masalah kegemukan, nak ikut emak bapak, mereka penuh dengan konflik dan masalah.

"Bagi saya ini, inilah yang menyebabkan kehilangan akhlak dan adab dalam generasi muda hari ini dan fenomena ini semakin menjadi-jadi. Bukan sahaja generasi muda yang mengalaminya, malah juga generasi tua," katanya.

PERLU GURU "MURSYID"

Perlu ada guru yang "mursyid", demikian pendapat Ir Ahmad Jais untuk menangani kemelut kecelaruan akhlak khususnya dalam kalangan golongan muda dan remaja.

Dengan menyifatkan keperluan itu sebagai satu cabaran kepada sistem pendidikan yang ada, beliau menjelaskan guru yang "mursyid" ialah guru yang dapat memberi petunjuk kepada anak murid.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan sistem pendidikan hari ini berjaya melahirkan pelajar yang cemerlang tetapi masih jauh ketinggalan dalam melahirkan contoh teladan.

"Sistem pendidikan hari ini perlu mengembalikan contoh teladan dalam kalangan para guru dan pendidik. Mereka juga bukan sahaja perlu memiliki bidang keilmuan yang tinggi tetapi juga mempunyai ketinggian budi bahasa," katanya.

Ir Ahmad Jais menegaskan bahawa konsep guru "mursyid" itu perlu juga dikembangkan supaya meliputi setiap pemimpin dalam masyarakat.

Mereka yang berjawatan juga perlu menjadi contoh teladan jika mahu melahirkan adab dalam masyarakat.

Begitu juga di dalam sesebuah organisasi, kata Ir Ahmad Jais.

"Jika seseorang ketua paling tinggi adalah orang yang disanjung akhlaknya dan mulia budi pekertinya, mempunyai pemikiran yang tajam serta membuat keputusan yang mantap, dialah yang wajar dijadikan sebagai contoh teladan," ujarnya.

IBU BAPA MITHALI

Di dalam lingkungan rumah, selayaknya ibu bapa menjadi contoh teladan kepada anak-anak.

Menurut Ir Ahmad Jais, ibu bapa sepatutnya orang yang paling rapat dengan anak-anak dan menjadi 'madrasah' pertama mendidik anak-anak, sesuai ungkapan 'anak-anak ibarat kain putih', yang meletakkan corak ialah ibu bapa di samping faktor guru, masyarakat dan persekitaran.

Bagi beliau, madrasah itu juga bukan terikat dengan bangunan atau institusi. Madrasah, jelasnya ada yang mendidik. Bahkan sesiapa sahaja yang memberi kesan kepada seseorang, dia adalah pendidik kepada yang lain.

"Jadi pendidik pertama kepada anak-anak adalah ibu bapa. Pendidikan yang anak-anak dapat daripada ibu bapa bukan dengan kata-kata tetapi dengan memerhatikan suasana dan pergaulan di dalam rumah tangga tersebut.

"Menjadi tanggung jawab besar ibu bapa untuk mewujudkan suasana keluarga yang kondusif atau istilah yang sering disebut 'baiti jannati' bermaksud rumahku syurgaku," katanya.

TANPA PERSIAPAN

Beliau berkata sebahagian pasangan yang berumah tangga pula bukan sahaja tidak bersedia untuk menjadi ibu bapa, bahkan ada juga yang tidak mendapat pendidikan yang sempurna.

Mereka itu mendirikan rumah tangga semata-mata kerana naluri ingin berkahwin tanpa persiapan untuk menjadi contoh teladan kepada anak-anak yang bakal dilahirkan.

Pasangan berkenaan kemudian mendapati diri mereka berada dalam fenomena menerima tanggungjawab menjadi ibu bapa, tanpa sebarang persiapan, termasuk daripada segi mental atau fizikal, katanya.

"Bagaimana anak-anak hendak mendapat pendidikan yang sempurna? Keadaan ini berterusan dari generasi pertama ke generasi kedua hingga ke generasi ketiga, keempat dan berterusan.

"Mungkin fenomena itu semakin parah seperti pepatah kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari. Kalau bapa begitu padahnya, anak cucu mungkin akan lebih parah," kata Ir Ahmad Jais.

Beliau turut merujuk kepada kejadian membuang bayi dan mendera anak yang semakin menjadi-jadi dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Kesemuanya itu, katanya, petanda betapa rapuhnya akhlak, adab dan institusi keluarga sebagai tapak kepada pendidikan akhlak dan sistem pendidikan yang gagal melahirkan contoh teladan.

Beliau turut beranggapan fenomena yang berlaku amat membimbangkan dan jika tidak ditangani secara pantas dan tuntas menerusi langkah-langkah membendung dan mencegah, ia boleh menghasilkan tindak balas berantai. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain