suria

Pelancong tak kisah dengan isu papan tanda

Dalam satu daripada filem klasiknya "Seniman Bujang Lapuk", Allahyarham Tan Sri Dr P. Ramlee ada menyebut frasa 'bahasa menunjukkan bangsa...'.

Itu membawa kita kepada zaman awal 1960an dan antara isu terbaru berhubung Bahasa Melayu ialah alasan penggunaan pelbagai bahasa di tapak Warisan Georgetown sebagai usaha menarik ramai pelancong. Namun ia dilihat bukanlah suatu yang relevan kerana yang lebih penting ialah produk pelancongan itu sendiri.

Kebiasaannya pelancong yang datang kurang memberi perhatian mengenai bahasa yang digunakan pada papan tanda jalan kerana mereka boleh tiba ke destinasi yang dituju dengan pelbagai cara termasuk bantuan pemandu teksi atau orang ramai.

Menerusi tinjauan dan temubual Bernama, orang ramai dan beberapa pelancong yang berkunjung ke negeri ini berpendapat mereka mengutamakan populariti Pulau Mutiara ini sebagai destinasi pelancongan daripada bahasa di papan tanda.

Seorang pelancong Singapura Suriati Misnan, 31, berkata kunjungan beliau ke Pulau Pinang disebabkan tertarik dengan keindahan pantai khususnya di kawasan Batu Feringhi.

PELBAGAI BAHASA

"Saya tidak tahu pun ada papan tanda dalam pelbagai bahasa di sini, saya datang ke sini kerana pantai dan Pulau Pinang terkenal dengan makanan yang lazat dan istimewa," katanya yang mengambil peluang cuti persekolahan membawa keluarga melawat sanak saudara di negeri ini.

Sepasang suami isteri dari Jerman yang ditemui berkata mereka tidak berdepan dengan masalah untuk melawat ke tempat-tempat menarik di Pulau Pinang walaupun kebanyakan tempat menggunakan Bahasa Melayu.

Menurut mereka perbezaan bahasa bukan penghalang untuk melancong ke negara Asia kerana banyak maklumat boleh diperoleh daripada internet ataupun hotel penginapan mengenai tempat yang ingin dikunjungi.

"Kita harus bangga dengan budaya dan bahasa kita, Bahasa Melayu ini unik. Saya dan isteri juga belajar bertutur Bahasa Melayu sebelum datang ke Malaysia," kata Werner Kohler, 45.

Beliau yang bertugas sebagai jurutera di sebuah syarikat antarabangsa berkunjung ke Pulau Pinang bersama isterinya Sabine, 39, selepas melayari laman web yang menceritakan keenakan makanan dan keunikan budaya di negeri jajahan Francis Lights ini.

RASA KESAL Selain itu beberapa orang tempatan yang ditemui melahirkan rasa kesal apabila bahasa papan tanda dijadikan isu.

"Ini semua politik, tidak ada masalah pun kalau terus kekalkan Bahasa Melayu di mana-mana tempat di Pulau Pinang. Sebelum inipun guna Bahasa Melayu ramai juga pelancong yang datang.

"Sepatutnya duit yang ada digunakan untuk menambah baik produk pelancongan," kata Mikhail Hassan Basri, 33, seorang pengusaha cendera mata di Batu Feringhi.

Pensyarah Bahasa Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM) Datuk Prof Md Salleh Yaapar berkata hanya bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu sepatutnya digunakan untuk papan tanda jalan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri Pulau Pinang boleh menggunakan pelbagai bahasa lain pada papanpapan kenyataan di tapak Warisan Georgetown sebagai penerangan kepada pelancong.

"Kalau bertujuan memberi penerangan contohnya pada papan kenyataan mengenai sejarah Khoo Kongsi atau Masjid Kepitan Keling, itu boleh digunakan dalam pelbagai bahasa.

"Tetapi nama jalan harus dikekalkan dengan Bahasa Melayu, seperti kebanyakan negara lain mereka menggunakan bahasa ibunda mereka," katanya.

Pada 24 Okt lepas kerajaan negeri Pulau Pinang meluluskan penggunaan penunjuk nama jalan dalam pelbagai bahasa di tapak warisan Georgetown sebagai usaha menarik ramai pelancong ke negeri ini. Isu itu menimbulkan reaksi yang pelbagai, termasuk daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), aktivis bahasa dan ahli sejarah. MPPP

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Datuk Zainal Rahim Seman yang ditemui pada satu majlis baru-baru ini menegaskan bahawa Bahasa Melayu tetap dikekalkan sebagai bahasa utama pada papan tanda jalan.

"Bahasa Melayu tetap digunakan, ia ditulis di bahagian atas penunjuk nama jalan dan bahasa yang lain seperti Cina, Tamil atau tulisan jawi di tulis di bahagian bawahnya," katanya.

Pada penghujung November lepas kerajaan negeri memasang papan tanda jalan dalam pelbagai bahasa di tapak Warisan Georgetown walaupun mendapat tentangan ramai.

Sama-samalah kita nantikan jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini sama ada terdapat peningkatan atau tiada beza. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain