suria

Kesungguhan Guru Muda Didik Anak Orang Asli

KUALA LUMPUR: Guru muda ini bukan calang-calang orangnya. Beliau berkebolehan berbahasa Temiar, bahasa pertuturan Orang Asli Perak.

Kelebihan ini membuka peluang beliau menabur budi, mencurah bakti untuk mendidik anak pribumi yang jauh tinggal di pedalaman.

Tujuh tahun lepas, Rassidee Rasid ditugaskan ke Sekolah Kebangsaan Pos Perwor di Sungai Siput, Perak untuk mengajar anak Orang Asli di situ.



Perjalanan ke sekolah itu, yang terletak di kawasan hutan simpan di kaki Banjaran Titiwangsa, bukannya mudah. Beliau terpaksa memandu kenderaan pacuan empat roda selama 45 minit, melalui jalan kampung yang tidak berturap.

Kesulitan yang terpaksa ditempuh itu pada mulanya membuatkan perasaan guru berkelulusan Ijazah Sains Pentadbiran, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mula bercampur-baur dan semangat menjadi pudar.

TIMBUL RASA SERONOK

Pelbagai perkara bermain di benak fikiran Rassidee tatkala kaki mula melangkah masuk ke sekolah yang dibina sejak 1980 dan mempunyai anak murid seramai 182 serta 19 guru.

Bagaimanapun, perasaan negatif itu mula hilang bahkan timbul rasa seronok apabila dirinya disapa dengan begitu mesra sekali warga pendidik lain yang secara keseluruhannya seusia dengannya.

Guru muda itu memulakan rutinnya tanpa jemu dan letih. Beliau bersama rakan lain menyewa rumah yang disediakan dan boleh diibaratkan seperti 'rumah tinggal'.

MENCURAH BAKTI

Menurut Rassidee, tahap pengetahuan pelajar di sekolah itu sangat rendah dari segala aspek sehinggakan jika ditanya contoh ayam goreng segera seperti KFC, MCD pun gagal dan hanya terpinga-pinga.

"Mereka hanya tahu ayam rangka yang dijual di pasar yang dibeli di tempat mereka setiap hari Sabtu.

"Anak-anak itu ibarat kain putih yang suci dan kami sebagai guru perlu memberitahu dan mengajar banyak perkara," katanya.

Antara perkara yang turut menjadi perhatiannya ialah memberi kefahaman kepada ibu bapa pelajar akan pentingnya anak mereka hadir ke sekolah.

"Rekod kedatangan pelajar ke sekolah masih rendah. Purata tahunan hanya mampu mencecah 80 peratus.

"Secara keseluruhannya, ramai ibu bapa tidak mengambil berat sama ada anak mereka pergi sekolah atau tidak," katanya dengan menambah, keadaan bertambah buruk untuk hari persekolahan yang diganti.

Bagaimanapun, keadaan itu sedikit pun tidak menjadikan Rassidee putus asa. Beliau bertekad mahu mendidik anak Orang Asli itu supaya mereka juga boleh berjaya dalam bidang pelajaran.

DI SEBALIK KEKURANGAN

Sememangnya sesebuah sekolah perlu mempunyai peralatan dan kelengkapan yang baik, bukan sahaja untuk memudahkan guru menjalankan tugas mereka tetapi pelajar juga boleh memahami pelajaran mereka dengan lancar.

Ada pelajar sehinggakan tidak mempunyai alat tulis dan menurut Rassidee beliau tidak sampai hati untuk meminta mereka membelinya kerana faktor jarak dan kos perbelanjaan untuk ke pekan.

Sebaliknya, beliau sendiri mengeluarkan wang untuk membeli keperluan itu sebagai inisiatif kepada pelajarnya.

"Meskipun keadaan sekarang ada perbezaan berbanding dahulu tetapi kita masih kekurangan dari segi penyelenggaraan seperti dalam peralatan komputer, generator, perkakasan jasmani yang kadangkala tidak boleh digunakan langsung.

"Bangunan kelas yang sempit menyukarkan keadaan pembelajaran, bilik guru juga tidak ubah seperti stor walaupun rumah guru disediakan tetapi tidak semua boleh digunakan," jelasnya lagi.

Namun di sebalik kekurangan yang ada, guru muda ini seharusnya berbangga apabila pertama kali sekolah kesayangannya itu menempa kejayaan pada tahun 2012.

Empat murid sekolah itu lulus dalam semua mata pelajaran dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Menurut Rassidee, kejayaan itu adalah hasil kerjasama secara berterusan dengan pihak pentadbiran sekolah di bawah kendalian Ustaz Khairul Anuar Hashim yang tidak berputus asa memastikan segala isi kandungan pembelajaran disampaikan.

"Saya berazam untuk memastikan anak yang jauh dari segala kemudahan ini mendapat peluang belajar supaya mampu setanding dengan masyarakat di bandar dan secara langsung kejayaan itu dapat diteruskan," katanya.

MULA BERTUKAR SAYANG

"Siapa yang hendak mengajar dengan keadaan yang tidak sempurna dan jauh daripada keadaan bandar, namun itu dulu. Jiwa yang memberontak itu sudah bertukar kasih tatkala melihat wajah-wajah kecil yang dahagakan ilmu.

"Sekarang apa yang penting niat sebagai guru ini umpama mendidik anak sendiri juga. Saya akan terus berkhidmat selagi diperlukan," kata Rassidee berkongsi perasaannya.

Rassidee turut mendapat sokongan daripada isterinya yang bertugas sebagai penolong pegawai pendidikan Tadika Islam di Perak.

"Isteri sangat memahami tugas saya, malah beliau sentiasa memberi sokongan atau berkongsi idea, membantu saya dalam menyediakan kaedah pembelajaran untuk anak murid saya," katanya.

Beliau juga tidak menolak sekiranya anak lelaki kesayangannya, Muhammad Tareeq Iqbal yang baru berusian setahun setengah, turut menanam cita-cita dan semangat untuk bergelar pendidik kelak.

Orang Asli, Perak, Temiar

Artikel Lain