suria

Keselesaan Muslimah Keutamaan Wafiyya by Dollscraf

DEK kerana minat yang mendalam dalam bidang fesyen Muslimah, Nurul Huda Ibrahim, terpanggil untuk meneroka bidang perniagaan kira-kira tujuh tahun lalu.

Bermula sebagai 'ejen dropship', kini anak kelahiran Johor Baru ini boleh berbangga apabila dia mempunyai jenama pakaian sendiri, Wafiyya by Dollscarf.

Biarpun pernah bekerja sebagai pegawai bank selepas tamat pengajian, Nurul Huda, 32 yang lebih mesra dengan panggilan Huda ini sanggup melepaskan jawatan tetapnya itu kerana dia lebih selesa berniaga secara kecil-kecilan tanpa mengeluarkan modal besar serta menumpukan masa menjaga anaknya yang masih kecil ketika itu.

"Saya mula sebagai 'ejen dropship' pada 2008, dengan menjual baju orang lain, lama-kelamaan saya rasa ada kekosongan dan mula menyimpan azam untuk membuka butik dengan mengeluarkan jenama pakaian sendiri.

"Saya mula menghasilkan t-shirt  Muslimah dengan menggunakan jenama Wafiyya hampir tiga tahun lalu, Alhamdulillah saya sangat terkejut kerana sambutannya cukup menggalakkan.

"Perniagaan kami lebih tertumpu kepada pembelian secara atas talian dan kami juga mempunyai 'ejen dropship' hampir di seluruh negara termasuk di Brunei dan Singapura," katanya kepada mStar Online ketika ditemui dibutiknya di Shah Alam baru-baru ini. 

Nurul Huda turut meluangkan masa menyemak stok pakaian yang terdapat di butik mereka. 

Istimewanya t-shirt  Muslimah keluaran Wafiyya adalah mesra penyusuan bayi.

"Wanita Islam hari ini lebih gemar mencari baju yang mesra penyusuan bayi, sebab itu kami mereka baju Muslimah yang dilengkapi dengan zip atau bahagian dalam mudah diselak bagi memudahkan penyusuan bayi.

"Fabrik yang digunakan juga diperbuat daripada kain kapas dan poliester. Setiap minggu kami akan mengeluarkan lima hingga tujuh rekaan  baharu untuk memenuhi permintaan pelanggan dan pasaran," katanya yang menghasilkan 250 hingga 300 helai t-shirt Muslimah bagi setiap rekaan. 

Nurul Huda sanggup berhenti kerja kerana ingin membuka perniagaan sendiri. 


Bagi Huda keselesaan pelanggan adalah keutamaan syarikatnya, dan setiap kali rekaan baharu dikeluarkan mereka akan mendapatkan maklum balas daripada pelanggan dan membuat perubahan mengikut citarasa pelanggan mereka.

"Bagi mereka yang berbadan besar, usah bimbang kerana baju yang kami jual bermula daripada saiz XS, S, M, L, 2XL, 3XL dan 4XL. Harganya juga mampu milik bermula daripada RM49 ke atas.

"Selain daripada t-shirt butik kami turut mengeluarkan selendang dan jubah. Untuk selendang harganya cukup berpatutan bermula dripada RM29 hingga RM39 ," katanya. 


Huda menunjukkan antara koleksi jubah yang dihasilkannya. 

Mengenai perancangannya pada 2015, Nurul Huda yang kini mengusahakan butiknya secara sepenuh masa bersama suaminya, Dede Adrian Syah Syaril, 31 berkata, dia ingin menambah lebih ramai 'ejen dropship' bagi memudahkan produknya dipasarkan ke seluruh negara.

"Setakat ini kita ada lebih daripada 50 'ejen dropship' dan kira-kira 20 daripadanya aktif di seluruh negara. Dengan menjadi 'ejen dropship' kami tidak mengenakan apa-apa bayaran sebaliknya mereka hanya perlu membeli barangan secara pukal dan harga setiap helai baju atau tudung akan dikira mengikut harga borong.

"Kami juga ingin berkongsi rezeki dengan mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan pada masa yang sama," katanya mengakhiri perbualan.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai t-shirt muslimah mahupun produk keluaran Wafiyya by Dollscarf  boleh melayari laman web, http://souq.mstar.com.my atau http://instagram.com/vervecommerce. Lebih istimewa penghantaran adalah percuma. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain