suria

Shahmina, Hijab Eksklusif Busana Timoer

FESYEN hijab di negara ini semakin rancak berkembang apabila muncul pelbagai rekaan menggunakan pelbagai fabrik, selain gaya pemakaian hasil sentuhan kreativiti perekanya.

Hari ini pelbagai rekaan hijab di tawarkan di pasaran seperti tudung bawal, selendang, tudung Syria dan pashmina yang boleh digayakan mengikut citarasa setiap wanita yang ingin tampil anggun dan bergaya.

Namun, berbeza dengan Busana Timoer yang menampilkan identiti tersendiri menerusi rekaan eksklusif selendang mewah, Shahmina oleh pengasasnya, Omar Arif.

Menyingkap pandangan pereka kreatif ini, Omar Arif berkata, Shahmina adalah sejenis selendang yang lebih berkualiti daripada pashmina yang dihasilkan menggunakan bulu biri-biri dengan gentian organik bermutu tinggi.

"Kualiti Shahmina memang tiada tandingan. Selendang mewah ini dihasilkan menggunakan bulu biri-biri berkualiti tinggi dengan campuran bahan organik dan istimewanya ia buatan tangan," katanya pada majlis perasmian pembukaan butik Busana Timoer di Lot 2.7.02, Aras 1, Jalan Medan PB8, Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Menariknya, beliau berkata, Shahmina dihasilkan di Kashmir yang terkenal sebagai pusat pembuatan selendang asli bermutu tinggi dunia.

"Saya berpeluang memilih corak, saiz dan warna yang diinginkan memandangkan pernah berurusan dengan kilang tersebut sebelum ini. Jadi rekaannya memang eksklusif dan kualitinya memang tiada tandingan," katanya.

Walaupun Shahmina masih kurang digunakan secara meluas di negara ini, Omar Arif berkata, selendang mewah ini diminati golongan atasan terutama di pasaran Indonesia.

"Saya lebih memberi tumpuan kepada pasaran di Indonesia dan mahu memperkenalkan Shahmina secara meluas di negara ini. Insya-Allah saya percaya ia akan mendapat tempat di hati Muslimah yang mementingkan penampilan diri," katanya.

Beliau yang berpengalaman dalam industri media berkata, bagi wanita yang mementingkan kualiti sesuatu rekaan, Shahmina adalah pilihan yang tepat kerana ia melambangkan kemewahan dan melengkapkan penampilan si pemakai.

"Shahmina adalah selendang mewah yang saya yakin akan mendapat tempat di kalangan wanita berhijab yang suka berfesyen dan ingin tampil lebih anggun," katanya.

Untuk tampil dengan kelainan berbanding butik sedia ada di negara ini, Omar Arif turut bekerjasama dengan beberapa pereka terkemuka dari Indonesia yang menawarkan busana Muslimah yang elegan, ringkas tapi bergaya.

Antara pereka terkemuka Indonesia tersebut adalah Iva Lativah, Tety Murniati, MRT - The art of hijab, Toera Imara, Hannnie Hananto dan Monika Jufry.

Katanya, bagi yang gemar ke Indonesia untuk membeli belah, kini mereka tidak perlu berbelanja lebih semata-mata untuk membeli busana rekaan dari pereka terkemuka dari negara seberang kerana harganya dijamin sama.

"Orang kita gemar membeli belah di kota Bandung dan negeri lain sekitar Indonesia. Jadi di Busana Timoer, harga dan kualiti rekaan sama dengan apa yang ditawarkan di negara seberang," katanya.

Antara koleksi yang mendapat perhatian pada hari pembukaan butik tersebut adalah rekaan tiga beradik kelahiran Bandung menerusi label MRT - The art of hijab.

Menurut Anita Nursanti Imron, salah seorang pengasas label tersebut, rekaan mereka ringkas tetapi mampu menyerlahkan penampilan si pemakai dengan sentuhan moden menggunakan fabrik buatan tangan dari Palembang.

"Kami mahu menghapuskan persepsi penampilan wanita berhijab dalam berfesyen adalah terhad. Jadi kami hasilkan busana Muslimah yang ringkas tetapi elegan seperti kot labuh yang boleh digunakan secara kasual," katanya.

Walaupun kot labuh itu berharga RM590, Anita berkata, ia berbaloi untuk dimiliki kerana kualiti dari segi kekemasan jahitannya dan perincian manik di bahagian dada yang menyerlahkan lagi penampilan wanita berhijab.

Shahmina, Omar Arif, Busana Timoer

Artikel Lain