suria

Tati Skin Care Sumbang Van Pusat Tahfiz

PETALING JAYA: Penantian Pusat Pengajian Al-Quran Darul Kautsar (PPADK) di Kubang Kerian, Kelantan untuk memiliki sebuah van serbaguna berakhir selepas syarikat produk kecantikan Tati Skin Care menyumbangkan sebuah kenderaan itu.

Jurucakap Tati Skin Care, Hazli Hasni berkata, sumbangan van dengan 12 tempat duduk itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan bagi membantu meningkatkan kemudahan yang lebih baik kepada pelajar.

"Kami mengharapkan agar sumbangan ini dapat membantu mereka bergerak dalam usaha untuk memartabatkan pengajian Islam," katanya kepada mStar Online pada Jumaat.

Pusat Pengajian Al-Quran Darul Kautsar berkenaan mempunyai seramai 45 pelajar tahfiz di kalangan anak yatim, fakir miskin dan mualaf.



Ditanya mengenai latar belakang pusat pengajian berkenaan, Hazli berkata ia dipilih berdasarkan beberapa kriteria tertentu termasuk keperluan dan kemampuan institusi berkenaan.

"PPADK dipilih berdasarkan tahap kemampuan mereka yang terbatas. Mereka juga kurang menerima bantuan bagi melancarkan operasi pembelajaran," katanya.

PPADK yang diasaskan pada tahun 1986 merupakan sebuah institusi pengajian menghafal al-Quran serta ilmu Islam.

Pusat pengajian itu juga kini dalam usaha untuk menyiapkan bangunan akademik bagi menampung jumlah pelajar yang semakin bertambah.

Mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh menggunakan akaun Maybank Islamic dengan nombor akaun 5531-0456-5893 atau 030-180100875-82 (Bank Islam).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain