suria

Sutra.my Tawar Tempahan Fleksibel Sempena Matta

PETALING JAYA: Dewan sesak, beratur panjang dan masalah tempat letak kereta antara dugaan yang dihadapi kebanyakan pengunjung Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta).

Senario ini juga sering kali berlaku pada pameran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara yang mendapat perhatian ribuan pengunjung saban tahun.

Namun usah kecewa dan bimbang kerana Sri Sutra Travel Sdn Bhd menyediakan penyelesaian buat mereka yang tidak berkesempatan ke Matta yang akan bermula esok  hingga 4 September ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Sri Sutra, Datuk Syed Mohd Razif Al Yahya berkata, pihaknya menyediakan platform secara dalam talian berdasarkan kesesuaian dari segi masa dan lokasi serta keselesaan yang lebih mudah.

Dikenali sebagai Sutra.my, katanya, portal tempahan pengembaraan global ini menghimpunkan lebih sejuta produk dari serata dunia.

"Memang ada macam-macam di Pameran Matta. Kita juga mempunyai 'booth' di sana untuk pengunjung membuat pilihan.

"Tetapi kepada yang mahu lebih selesa kerana ada yang tak suka panas, berhujan untuk ke sana, Sutra. my platform terbaik, termasuk mereka yang jauh dan tak mempunyai banyak masa," katanya kepada mStar Online.

Syed Mohd Razif berkata, portal Sutra.my menawarkan fleksibiliti sebagai alternatif tetapi masih memenuhi kehendak orang ramai yang berkunjung ke pameran tahunan itu.

Tambahnya, kemungkinan ada yang tidak berkesempatan disebabkan pameran selama tiga hari itu hanya dibuka dari pukul 10 pagi sehingga 9 malam.

"Tetapi kita mempunyai satu platform yang menyediakan fleksibiliti di mana ia masih memenuhi kehendak orang ramai.

"Mereka boleh membuat pilihan dan tempahan di mana-mana, bila-bila masa dari pukul 12.01 pagi pada 2 September sehingga pukul 11.59 malam 4 September.

"Apa yang ada di 'booth' Sri Sutra di Matta bagi tawaran pakej dan promosi, ada juga di portal Sutra.my," katanya.

Mengulas lanjut mengenai Sutra.my, Syed Mohd Razif berkata, portal bertaraf global ini diwujudkan sejak setahun lalu, dan sentiasa dikemaskini.

Jelasnya, menerusi lebih sejuta produk, ia berintegrasi dengan pelbagai jenis tempahan termasuk penerbangan, hotel, apartment, pakej melancong, lawatan, sewa kereta sehingga ke bas ekspres.

"Orang ramai boleh menerokai pilihan pelancongan dan pengembaraan yang menarik. Paling penting, harga yang ditawarkan adalah lebih rendah dan kompetitif berbanding yang lain.

"Portal ini juga boleh memberikan senarai sesuatu tempahan mengikut pilihan yang ideal seperti harga paling rendah dan ketetapan berdasarkan bajet," katanya.

Dalam pada itu, orang ramai juga boleh berkunjung ke gerai Sri Sutra di Pameran Matta bernombor 1126-1128 di Dewan 1 (Antarabangsa) dan 3215-3218 di Dewan 3 (Asean).

Menurut Syed Mohd Razif, antara tawaran dan pakej menarik Sri Sutra sempena Matta adalah taman tema dan rekreasi, Taman Jawa Timur atau Jatim Park di Indonesia serta percutian di London dan Eropah menerusi Europamundo.

"Sri Sutra merupakan ejen eksklusif di Malaysia bagi Jatim Park dan Europamundo," katanya.

Artikel Lain