suria

AirAsia Lancar Kempen Bantuan Banjir Pantai Timur

SEPANG: Walaupun sedang berdepan detik sedih berikutan nahas pesawat QZ8501, namun AirAsia sebagai sebuah syarikat penerbangan tambang murah terulung di Asean tetap tidak terlepas untuk melancarkan kempen bantuan untuk mangsa banjir di Pantai Timur.

Terkini, pada Khamis, AirAsia mengumumkan pelancaran Kempen Bantuan Banjir Pantai Timur bagi membantu dan memulihkan negeri-negeri yang terjejas akibat bencana buruk berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Air Asia memberitahu, kempen itu merangkumi penghantaran percuma barangan bantuan dan para sukarelawan ke Kota Bharu dan Terengganu selain kutipan derma bagi pemulihan semula kawasan terjejas.

"Setakat ini, AirAsia telah menerbangkan bekalan makanan ke Kota Bharu daripada Biro Penerangan Pemuda UMNO dan akan turut menghantar barangan bantuan daripada Mercy Malaysia.

"Agensi bantuan kemanusiaan yang memerlukan sokongan penerbangan udara dijemput untuk memohon kepada [email protected]. Setiap penerangan mengenai penghantaran dan keperluan kargo akan diberikan selepas permohonan diberi penilaian," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun berkata, "Kami bersimpati terhadap mereka yang terjejas akibat banjir tersebut. Para AirAsia Allstars dan keluarga mereka yang berada di Pantai Timur turut sama ditimpa bencana.

"Banyak rumah telah musnah dah kehidupan terganggu akibat banjir. Kami akan melakukan apa yang terdaya bagi membantu mengurangkan kesedihan dan kesusahan yang dialami oleh mangsa selain berdoa untuk keselamatan dan kesejahteraan mereka. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua atas segala keprihatinan dan sumbangan."

Menurut kenyataan tersebut, seiring dengan usaha itu, AirAsia juga akan melancarkan kempen kutipan derma seluruh Kumpulannya bagi membolehkan orang ramai menyumbang kepada aktiviti pemulihan.

"Kempen Dana Bantuan Banjir Pantai Timur AirAsia, dengan kerjasama Mercy Malaysia, akan dimulakan pada 31 Disember 2014 dengan tujuan mengumpul dana bagi pembersihan dan pembaikian sekolah dan hospital selepas banjir.

"Kotak kutipan derma juga akan disediakan di atas semua penerbangan AirAsia Malaysia dan AirAsia X dari 31 Disember 2014 hingga 18 Januari 2015. Bermula 5 Januari, para tetamu yang menempah penerbangan melalui www.airasia.com diserata Asean dan seterusnya juga  dapat memberikan sumbangan kepada dana bantuan tersebut," jelas kenyataan itu.

AirAsia turut mengulangi pendirian syarikat itu yang akan kekal komited dengan falsafah bahawa sesebuah syarikat tidak akan dapat berkembang tanpa sokongan daripada komuniti sekeliling.

Sebagai syarikat penerbangan Asean yang sejati, ia akan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada komuniti ketika diperlukan.

Selain itu, orang ramai dijemput melayari Facebook (facebook.com/AirAsia) dan Twitter (twitter.com/AirAsia) AirAsia bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai usaha bantuan kemanusiaan AirAsia dan bagaimana mereka boleh menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.


AirAsia, QZ8501, Banjir, Kelantan

Artikel Sebelum

Artikel Lain