Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun anak kepada warga emas menemui adiknya yang baru dilahirkan. -Gambar Douyin
SEORANG warga emas mencuri perhatian selepas melahirkan anak kedua, hanya dua tahun selepas menimang cahaya mata pertamanya pada usia 58 tahun.Wanita berusia 60 tahun itu memilih untuk mempunyai anak pada usia lanjut selepas berdepan kehilangan anak tunggalnya pada 2022. Keputusan berkenaan bagaimanapun tidak terlepas daripada pandangan dan kritikan orang ramai yang mempersoalkan keupayaan wanita tersebut membesarkan anak kecil.Namun, wanita terbabit tidak menghiraukan pandangan berkenaan dan mengakui dirinya berasa sihat serta yakin mampu menjaga kedua-dua anaknya.Bayi perempuan seberat 2.8 kilogram itu dilahirkan menerusi pembedahan Caesarean pada 17 September lalu di Zhumadian Central Hospital, wilayah Henan, China.Wanita dikenali sebagai Zhang, manakala anak lelakinya yang berusia dua tahun diberi nama panggilan Guoguo.Menurut Zhang, Guoguo begitu teruja bertemu adik perempuannya buat kali pertama di hospital, malah menyanyikan lagu untuk menyambut kelahiran adiknya."Saya sangat gembira. Saya mempunyai seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Hidup saya kini lengkap."Kedua-dua anak ini boleh menemani satu sama lain dan tidak akan berasa kesunyian," katanya.Zhang berkata dia tidak terlalu mempedulikan pandangan negatif orang ramai terhadap keputusannya melahirkan anak pada usia lanjut."Pada pandangan saya, saya baru berusia 28 tahun. Saya percaya saya boleh hidup untuk tempoh yang panjang," katanya.Keyakinannya itu turut dipengaruhi faktor umur panjang dalam keluarganya apabila bapanya meninggal dunia pada usia 100 tahun, manakala ibunya kini berusia 94 tahun dan masih sihat.Menurut Zhang, ibunya masih mempunyai penglihatan dan pendengaran yang baik serta mampu menaiki tangga sendiri."Saya percaya saya juga sihat seperti mereka. Saya yakin apabila saya meninggal dunia nanti, anak-anak saya sudah dewasa dan berkahwin," katanya.Sementara itu, pakar obstetrik hospital berkenaan, Zhang Hualian, berkata kehamilan pada usia tersebut jarang berlaku di China."Dia melahirkan anak lelaki ketika berusia 58 tahun dan anak perempuan ketika berusia 60 tahun. Kehamilan pada usia seperti ini jarang berlaku di China," katanya.Doktor itu turut menyifatkan Zhang lebih tenang ketika melalui kehamilan keduanya berbanding pengalaman terdahulu.Sepanjang mengandung, Zhang berkata dia masih menyediakan makanan dan melakukan kerja rumah seperti biasa.Pada awalnya, suaminya bimbang dengan keputusannya untuk mempunyai anak pada usia lanjut, namun Zhang meyakinkannya bahawa dia berada dalam keadaan baik.Tidak dapat dipastikan sama ada kedua-dua kehamilan Zhang melibatkan rawatan persenyawaan in vitro (IVF).Sebelum ini, pasangan berkenaan hanya mempunyai seorang anak yang meninggal dunia pada 2022 namun punca kematian tidak didedahkan. -Agensi