SEORANG lelaki maut dilibas dengan sabit oleh rakannya sendiri dalam kejadian yang berlaku di Cilincing, Jakarta Utara, Indonesia pada Khamis.Ketua Polis Cilincing, AKP Bobi Subasri berkata, pergaduhan antara mangsa dan suspek bermula selepas mangsa tidak berpuas hati diejek suspek dengan panggilan 'boleng'. "Suspek memanggil mangsa 'boleng' sebelum mangsa mengambil kerusi dan memukul suspek," katanya.Menurut Bobi, suspek kemudian masuk ke dalam rumah dan mengambil sebilah sabit yang disimpan di atas akuarium.Suspek seterusnya menggunakan senjata tajam itu untuk melibas dan mengenai bahagian bawah perut sebelah kiri mangsa.Kecederaan dialami itu membuatkan mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah.Bobi berkata, suspek sempat memegang mangsa dan meminta bantuan, namun tiada sesiapa datang membantu.Susulan kejadian itu, suspek menyerah diri di Balai Polis Cilincing pada hari yang sama.Mayat mangsa pula diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan.Menurut Bobi, keluarga mangsa sudah membuat laporan polis dan kes berkenaan sedang diproses.Katanya, suspek berdepan tuduhan membunuh atau melakukan serangan yang menyebabkan kecederaan parah.