Rakaman video memaparkan seorang wanita diserang kerana mempunyai hubungan dengan suami orang, tersebar di laman sosial. -Foto Kompas
SEORANG wanita berusia 27 tahun diserang sebelum wajah dan kemaluan dilumur serbuk cili, selepas didakwa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki berstatus suami orang.Kejadian dilaporkan berlaku di Kabupaten Sampang, Jawa Timur, Indonesia. Kejadian itu dirakam dalam video berdurasi 7.07 minit yang memaparkan mangsa dikelilingi beberapa wanita sebelum diserang secara beramai-ramai.Dalam rakaman berkenaan, seorang wanita dilihat menarik rambut mangsa, manakala seorang lagi menarik pakaian dalamnya sehingga terkoyak sebelum dia menyapu serbuk cili pada bahagian sulit dan wajah mangsa.Beberapa wanita lain dilihat cuba meleraikan pergaduhan tersebut, namun serangan terhadap mangsa tetap diteruskan.Menurut Ketua Seksyen Perhubungan Awam Polis Sampang, AKP Eko Puji Waluyo, mangsa dikenali sebagai MR dan merupakan penduduk Desa Ketapang Laok, Kecamatan Ketapang.Dua individu yang disyaki terlibat dalam kejadian itu pula dikenali dengan inisial H, berusia 29 tahun, dan ibunya, S, 45.Menurut Eko, kejadian bermula apabila H mengajak MR ke sebuah klinik bidan di Desa Bira Barat, Kecamatan Ketapang.Di lokasi tersebut, H bertemu MR bersama beberapa wanita lain sebelum menyoal mangsa mengenai hubungannya dengan suaminya.MR kemudian mengakui pernah menjalinkan hubungan terlarang dengan lelaki berkenaan."Namun, menurut mangsa, hubungan itu sudah berakhir," katanya pada Khamis.Bagaimanapun, pengakuan tersebut dipercayai menyebabkan H berang sebelum menampar dan menarik rambut mangsa.Ibu H turut didakwa bertindak menyerang mangsa sehingga dia tidak mampu melawan.Polis kini sudah merampas barang bukti selain mengambil keterangan daripada beberapa saksi yang berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan. -Agensi