Gejala buli bukan sahaja merosakkan emosi, malah berisiko meragut nyawa insan yang tidak berdosa. -Gambar hiasan
MISTERI kehilangan seorang doktor pelatih akhirnya terjawab apabila dia ditemukan meninggal dunia di dalam bilik asrama sebuah hospital kerajaan pada Ahad.Mangsa yang berusia 30 tahun itu merupakan doktor residen sejak enam bulan lalu sambil mengikuti pengajian di peringkat pascasiswazah. Menurut laporan, mangsa sepatutnya bertugas pada pagi kejadian namun gagal hadir. Bimbang selepas cubaan menghubungi telefon bimbitnya gagal, seorang rakan doktor yang menginap di asrama sama telah diminta untuk memeriksa keadaannya.Bagaimanapun pintu bilik mangsa yang dikenali sebagai Harsh itu dikunci dari dalam.Justeru ia terpaksa dipecahkan dengan bantuan kakitangan keselamatan sebelum dia ditemukan tidak sedarkan diri.Kejadian di Surat, India itu dilaporkan kepada polis untuk siasatan lanjut.Dalam pada itu, siasatan dalaman awal mendapati empat doktor senior didakwa berulang kali melakukan gangguan serta perbuatan buli terhadap Harsh.Ekoran dakwaan tersebut, empat doktor berkenaan iaitu Dr Nirali Vasave, Dr Anuj Maheshwari, Dr Dikshit Ghevariya dan Hina Bhutne digantung daripada tugas di hospital, hostel serta semua aktiviti pengajaran selama enam bulan.Menteri Kesihatan Gujarat, Praful Panseriya, turut mengarahkan siasatan dalaman secara menyeluruh bagi mengenal pasti sama ada mangsa berdepan tekanan mental, fizikal mahupun gangguan Buli.Siasatan turut akan meneliti dakwaan wujud masalah antara doktor senior dan junior di jabatan berkenaan berkaitan isu agihan tugas.Keluarga memaklumkan Harsh tidak mempunyai masalah dalam pelajaran dan baru sahaja bertunang.Keterangan daripada pelajar serta doktor yang tinggal di hostel turut diambil bagi menyiasat dakwaan buli dan tekanan terhadap mangsa. -Agensi