SEORANG wanita maut selepas ditikam suaminya ketika sedang leka memasak di dapur, dalam kejadian pada pagi Ahad. Tragedi berdarah itu berlaku di kediaman pasangan berkenaan yang terletak di Desa Temuasri, Banyuwangi, Indonesia. Sejurus kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Yuni Kosayah, 25, sempat dikejarkan ke pusat kesihatan berdekatan oleh suspek bersama adiknya bagi mendapatkan bantuan.Bagaimanapun, keadaan mangsa dilaporkan semakin kritikal sebelum dia dibawa ke Rumah Sakit Al Huda di Kecamatan Genteng.Mangsa yang mengalami luka tikaman di bahagian kiri perut disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.Ketua Siasatan Jenayah Polresta Banyuwangi, Kompol Lanang Teguh Pambudi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai kejadian berkenaan.Menurutnya, hasil siasatan awal, pasangan berkenaan yang berkahwin sekitar dua tahun lalu dipercayai sering bertengkar sebelum kejadian berlaku.Suspek sudah ditahan untuk membantu siasatan dan turut merampas sebilah pisau dapur yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.Beberapa saksi juga sudah dipanggil untuk memberikan keterangan.Kes berkenaan kini masih dalam siasatan bagi mengenal pasti kronologi sebenar serta motif di sebalik kejadian. -Agensi